USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN WAU ROCKETRY UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

DSC_2562s.jpg

NIBONG TEBAL, 13 Mei 2023 – Pencapaian serta kejayaan pasukan Wau Rocketry dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menyertai pertandingan Spaceport America Cup adalah suatu yang membanggakan.

Berikut dinyatakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang semasa sesi lawatan kerja beliau dan Majlis Penyampaian Sumbangan Bagi Projek Hebat II anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa di Kampus Kejuruteraan USM di sini, hari ini.

Sebagai satu bentuk sokongan kepada inisiatif yang diterajui oleh pelajar selaku wakil tunggal Malaysia di pertandingan tersebut melalui Projek Hebat II, beliau telah menyumbangkan RM10,000 dan turut bersedia untuk terus menyumbang kepada projek ini lagi di masa akan datang.

Malah, YB Chang turut menggalakkan lebih banyak penglibatan daripada pihak kerajaan, industri serta masyarakat di luar sana terutamanya apabila ianya melibatkan peruntukan serta perbelanjaan pasukan ini untuk menyertai pertandingan berprestij ini di New Mexico, Amerika Syarikat pada Jun akan datang.

Bagi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman, sokongan yang ditunjukkan oleh YB serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kepada pelajar USM adalah penting di atas usaha mereka mengharumkan nama Malaysia dan USM.

Apatah lagi menurut beliau, penglibatan serta pembangunan projek pasukan ini adalah sejajar dengan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) itu sendiri yang akan membawa lebih banyak perubahan kepada negara kita kelak.

Selain daripada itu, Azlinda turut menekankan peranan USM dalam memperkasakan mahasiswanya dan pencapaian Wau Rocketry pada hari ini adalah contoh kepada usaha pelajar serta komitmen masing-masing untuk berjaya dalam apa yang mereka lakukan.

Beliau turut berharap agar sokongan yang ditunjukkan serta diberikan oleh YB ini akan menjadi salah satu galakan kepada lebih ramai lagi pelajar USM untuk melibatkan diri dengan program-program seumpama ini pada masa akan datang.

DSC_2702s.jpg

Pelajar tahun 4, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Vanmitha Athimoolam, 23, selaku Pengarah Projek Hebat II menyatakan rasa terima kasih beliau kepada semua pihak, terutamanya pusat-pusat pengajian kerana telah memberikan bantuan yang tidak terhingga bukan sahaja kepada pasukan tetapi juga projek Wau Rocketry ini.

Malah, beliau turut berharap agar lebih banyak sokongan diterima dari pelbagai pihak terutamanya untuk pasukan Wau Rocketry mencapai sasaran kos pertandingan berjumlah RM371,000 demi merealisasikan hasrat menjulang nama Malaysia di lima (5) tempat teratas pada acara tahunan itu nanti.

Turut hadir di majlis penyampaian sumbangan itu ialah Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Profesor Dr. Farzad Ismail, dan juga warga pusat pengajian.  

Terdiri daripada 12 pelajar Kejuruteraan, Wau Rocketry ditubuhkan pada tahun 2021, dan penyertaan sulung pasukan sebagai wakil tunggal negara pada pertandingan yang sama tahun lepas telah berjaya meletakkan mereka di tempat ke-7 daripada 46 pasukan dalam kategori 10,000 kaki dan tempat ke-12 daripada 99 pasukan dari seluruh dunia.

Pasukan Wau Rocketry kini telah berkembang menjadi sebuah kelab yang dianggotai oleh 30 orang ahli, yang mana mereka ini komited untuk memacu inovasi dalam teknologi roket sambil memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneruskan kerjaya dalam sektor angkasa lepas.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahma

  • Created on .
  • Hits: 407

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024