USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPBNC USM AMBIL INISIATIF SEDIA ‘WATER STATION’ DI LALUAN PEJALAN KAKI DALAM KAMPUS

May be an image of 22 people and text

USM PULAU PINANG, 10 Mei 2023 – Cuaca panas tidak menentu yang melanda Malaysia sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak. Lebih-lebih lagi dengan beberapa kes kematian akibat strok haba yang disebabkan oleh pendedahan kepada bahang dan kepanasan yang melampau.

Justeru, Pusat Pengurusan Bencana Nerve Centre (PPBNC) Universiti Sains Malaysia (USM) sedar akan bahaya cuaca panas ini kepada warga kampus dan mengambil inisiatif untuk menyediakan ‘water station’ bagi manfaat semua.

Pegawai Tadbir PPBNC, Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaffar memaklumkan bahawa inisiatif ini baru dimulakan pada bulan Mei setelah mengambil kira akan keperluan warga kampus terutamanya pelajar yang perlu berjalan kaki untuk ke satu-satu tempat.

Mengulas lanjut mengenai kemudahan ini, Salman berkata kemudahan ini disediakan di laluan pejalan kaki warga kampus berulang-alik dari desa ke dewan kuliah dan fasiliti lain.

“Water Station ini disediakan secara percuma dan sekiranya tidak membawa bekas minuman sendiri, pelajar boleh menggunakan cawan yang disediakan.

“Pada asalnya, kita hanya fokus kepada pelajar. Tapi melihat kepada semua aspek, kita dapati staf USM juga memerlukan kemudahan ini,” tambahnya lagi.

Beberapa lokasi lain juga telah dikenal pasti dan ‘water station’ ini akan diperluaskan lagi ke kawasan-kawasan lain.

Salman turut mengharapkan inisiatif ini mendapat sokongan ramai pihak terutamanya warga USM sendiri agar lebih banyak ‘water station’ dapat diwujudkan di sekitar kampus untuk kemudahan semua.

Katanya lagi, dengan adanya Water Station ini, ia membuktikan bahawa universiti sememangnya prihatin dan cakna dengan kesihatan warga kampus khususnya mahasiswa ketika cuaca panas.

“Saya juga berharap idea Water Station ini dapat diperluaskan lagi oleh universiti-universiti lain dalam menjaga kebajikan dan kesihatan warganya, kerana walaupun usaha tersebut dilihat sebagai usaha ‘low effort’ tetapi ia boleh memberikan impak tinggi kepada mahasiswanya,” tambah Salman.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto montaj: PPBNC USM

  • Created on .
  • Hits: 322

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024