TYT TUN: SISTEM PENDIDIKAN ALAF BARU PERLU FLEKSIBEL, KREATIF, CEPAT MENGADAPTASI DAN RELEVAN
USM PULAU PINANG, 9 Mei 2023 – Sebagai mengenang jasa dan bakti Allahyarham Tun (Dr.) Haji Hamdan Sheikh Tahir dalam meneruskan agenda pendidikan negara, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Yayasan Tun Hamdan (YTH) hari ini telah menganjurkan Pidato Umum Tun Hamdan Sheikh Tahir Siri ke-IV yang bertajuk ‘Sistem Pendidikan Negara – Dulu, Kini dan Masa Depan: Cabaran dan Prospek’.
Dewan Budaya USM, tempat berlangsungnya pidato ini, dibanjiri kira-kira 450 orang yang terdiri daripada warga pendidik dan guru dari sekolah-sekolah di Malaysia serta para pensyarah dan pelajar USM.
Pidato Umum ini disampaikan oleh Tokoh Pemidato, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Isahak Harun dan dimoderatorkan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling.
Hadir bagi merasmikan Pidato Umum Tun Hamdan Sheikh Tahir ke-IV ini adalah Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.
Ahmad Fuzi dalam ucaptama beliau, menyentuh empat cabaran utama yang dikenal pasti dalam dimensi pendidikan seperti yang ditekankan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadlina Sidek, iaitu kesaksamaan pendidikan; kebajikan guru; pengajaran dan pembelajaran; dan murid berkeperluan khas.
“Dalam menyentuh cabaran-cabaran yang dihadapi, sebagai pemerhati umum dan secara peribadi, adalah amat sedih bagi saya melihat persepsi negatif yang dilemparkan terhadap sistem pendidikan Malaysia oleh pihak luar negara serta individu dan organisasi-organisasi tertentu dalam negeri sendiri,” katanya.
Tambah beliau, segala cabaran yang dihadapi perlu diselesaikan dengan baik dan berkesan dan adalah penting dalam sistem pendidikan alaf baru ini untuk institusi pendidikan sentiasa relevan dan up-to-date dari masa ke semasa.
“Sistem pendidikan tidak boleh statik kerana realitinya sekarang, dengan peredaran zaman dan teknologi serta pelbagai perkembangan yang berlaku, seperti wabak COVID-19 dan Revolusi Perindustrian 4.0, adalah penting bagi institusi pendidikan cepat berubah, fleksibel, kreatif, berfikir di luar kotak, sentiasa terkini dan cepat mengadaptasi untuk kekal relevan bagi mendepani cabaran-cabaran baru demi kepentingan bangsa, agama dan negara,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dalam ucapan aluannya, menyeru semua pendidik untuk bersama-sama berganding bahu demi meningkatkan sistem pendidikan negara.
“Saya berharap agar kerjasama erat dan padu serta sokongan dari semua stakeholders akan meningkatkan taraf pendidikan negara, demi kejayaan generasi masa hadapan dan kemajuan negara kita,” kata Mustafa.
Pengerusi YTH, Dato’ Seri Dr. Isahak Yeop Mohd Shar dalam ucapannya berkata, majlis ilmu ini bertujuan untuk memperingati ketokohan Allahyarham Tun Hamdan dalam konteks pendidikan negara, yang mana sumbangan Allahyarham dalam bidang kerjayanya serta khidmatnya sebagai seorang pendidik ternyata banyak meninggalkan kesan positif kepada pendidikan negara.
“Yayasan ini ditubuhkan pada tahun 2003 dan bagi meneruskan usaha Tun Hamdan, yayasan ini ditubuhkan dengan tujuan untuk memajukan anak Melayu pinggir bandar,” katanya lagi.
Beliau seterusnya menceritakan secara ringkas tentang biografi dan latar belakang Tun Hamdan kepada para hadirin yang hadir.
Allahyarham Tun Hamdan juga merupakan mantan Naib Canselor USM yang kedua pada tahun 1976 sehingga 1982.
Turut hadir pada majlis ilmu ini adalah wakil Naib Canselor USM, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman serta pegawai-pegawai utama USM.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 635