USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SILAT CEKAK TONGGAK KECEMERLANGAN ILMU DAN ADAB

IMG 0779

PULAU PINANG, 2 Mei 2015 - Pertubuhan Seni Silat Cekak sentiasa berusaha menjadikan budaya warisan itu sebagai tonggak dalam memartabatkan kecemerlangan ilmu dan adab agar setiap ahlinya tidak melakukan perkara-perkara yang tidak berintegriti demi kesejahteraan negara keseluruhannya.

Lantas setiap ahli yang benar-benar menghayati ilmu persilatan ini berupaya menjadi pemangkin bagi menangani isu-isu utama dalam hal integriti dan dapat melestarikan adat seiring dengan adab dengan menolak sebahagian budaya luar yang bercanggah dengan agama, tata susila bangsa dan negara.

IMG 0717

Hal ini ditegaskan oleh Naib Presiden 2 Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Profesor Madya Ar. Dr. Hj. Abdul Majid Ismail yang mengharapkan setiap ahli Silat Cekak membantu negara dalam mendaulatkan kecemerlangan ilmu dan adab.

"Kita dapat melihat sekarang ini pembangunan ilmu dan adab tidak lagi seiring dengan pembangunan negara yang menyebabkan berlaku krisis dalam masyarakat apabila tidak lagi berpegang kepada Islam dan tata susila budaya timur," katanya ketika menyampaikan ucap tama Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia 2015 (KOSSCEM 2015) bertajuk 'Budaya Warisan Tonggak Kecemerlangan Ilmu dan Adab' di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Universiti Sains Malaysia.

Bercakap di hadapan hampir 1,000 orang peserta dari seluruh IPTA, Abdul Majid menegaskan bahawa rata-rata golongan muda kini kurang mengambil kira faktor asas cara menuntut ilmu dalam konteks keberkatan ilmu.

"Natijahnya, ilmu dilonjak tetapi akhlak dan budi pekerti iaitu adab tidak terlonjak sama yang menyebabkan ramai yang berilmu tetapi tidak mampu membawa kepada kecemerlangan sahsiah diri termasuk tidak berupaya menghindari sikap negatif," katanya lagi.

IMG 0834

Abdul Majid yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM menambah, sikap negatif seumpama rasuah, salah guna kuasa, bongkak dan sombong, penakut, tiada jati diri kini menjadi penyakit orang berilmu zaman ini.

Jelasnya, atas sebab itulah Pertubuhan Seni Silat Cekak mengekal dan menekankan kepada pemahaman dan pegangan kepada adat dan tradisi ketimuran yang tinggi nilainya kepada mereka yang mempelajarinya agar menjadi insan yang berilmu, beradab dan berguna untuk negara pada masa akan datang.

Hadir sama ialah barisan tertinggi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) dalam Kolokium kali ini yang berlangsung selama satu hari.

Kolokium ini mengupas pelbagai isu menarik antaranya Struktur Tubuh Pengamal Seni Silat Cekak, Penciptaan Manusia, Kandungan dan Kebaikan Ekstrak Minyak dari Kulit Limau Purut terhadap Tubuh Badan dan sebagainya. - Teks: Mohd. Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1690

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024