USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MANFAATKAN IDEA, KREATIVITI, ILMU DAN TEKNOLOGI UNTUK KELESTARIAN - USM LANCAR BANK IDEA

IMG 0638

PULAU PINANG, 1 Mei 2015 - Idea dan kreativiti penting dalam melestarikan seni dan budaya untuk sentiasa relevan dalam menghadapi cabaran hari muka.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman menegaskan bahawa seni pertahanan diri misalnya merupakan seni universal yang mendaulatkan bangsa dari mana ia bermula, satu kearifan tempatan yang wajar ditonjolkan dan diperkasakan dengan begitu baik dan terus disesuaikan dengan perkembangan dan kemajuan masa hadapan dalam merealisasikan usaha melahirkan siswazah holistik seperti mana yang dihasrat melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi).

IMG 0655

IMG 0671

“Kini, telah tiba masanya juga untuk persatuan-persatuan pelajar universiti ini menerokai lebih jauh kemampuan dan keupayaan diri dengan mengambil cabaran-cabaran yang lebih besar sesuai dengan perkembangan semasa dan keperluan masa hadapan," kata Omar.

Berucap dalam Malam Pendekar sempena Perayaan 40 Tahun Jubli Delima persatuan tersebut di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), di sini, malam tadi, beliau berkata usaha terus diambil untuk memperkasakan budaya seperti seni pertahanan diri dalam konteks global untuk menjadikannya sentiasa relevan dan diterima dalam konteks budaya universal dengan memanfaatkan kekuatan teknologi dan media bersama-sama idea baharu yang kreatif dalam memastikan kelangsungan masa hadapannya.

“USM memandang tinggi idea dan kreativiti dan kini merealisasikan BankIDEA@USM yang membolehkan semua pihak mendepositkan idea mereka untuk dihalusi dan gunakan jika realistik dan bersesuaian dengan menggalakkan seluruh warga USM malah para alumni USM untuk turut mengambil bahagian secara terbuka malah dijangka akan melancarkan aplikasi mudah alih yang boleh dikongsi bersama dengan semua pihak,” tambah Omar lagi.

IMG 0731

IMG 0875

Omar juga berharap agar seni silat ini akan terus mendapat tempat di hati semua pihak selain mengambil contoh seni-seni mempertahankan diri lain yang mampu mengorak langkah ke peringkat tertinggi.

Malam Pendekar diadakan tiga tahun sekali dengan menonjolkan kekayaan budaya seni mempertahankan diri masyarakat Melayu melibatkan demonstrasi silat-silat Melayu seperti daripada pendiri Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan peserta jemputan yang mewakili pertubuhan ilmu bela diri kaum lain di negara ini iaitu demonstrasi IP Man Wing Cun Pulau Pinang yang mewakili kaum Cina dan Pertubuhan Silambam Pulau Pinang yang mewakili kaum India.

IMG 0891

IMG 0925

Pada majlis yang sama, Naib Canselor menerima anugerah khas, Anugerah Pentadbir Akademik Cemerlang yang disampaikan oleh Guru Utama dan Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah.

Presiden PESAKA, Senator Tan Sri Datuk Seri Dr. Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, dalam ucapannya menyeru mahasiswa dan anak-anak muda memanfaatkan usaha dan peluang yang ada dengan mengambil nilai-nilai positif untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.

IMG 1022

“Daripada pengamatan saya, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah berjaya memupuk semangat kepimpinan, kerjasama, dan komitmen yang tinggi dalam kalangan mahasiswa dengan nilai-nilai positif untuk mempersiapkan diri menghadapi alam selepas universiti,” katanya di hadapan hampir 3,000 orang membanjiri DTSP USM seawal jam 7.00 malam itu.

Pengarah Projek Malam Pendekar 2015, Mohd Zazril Ikhmal Bin Zamri pula mengharapkan agar program tersebut akan diteruskan sampai bila-bila kerana nilai kearifan tempatan budaya Melayu itu sendiri yang memperkukuh semangat jati diri bangsa Melayu di pentas dunia melalui kemampuan mahasiswa menonjolkan identiti dengan memupuk semangat kerjasama dan ikatan persaudaraan dalam menjayakan program seperti ini.

Program yang penuh tradisi Melayu dan adat istiadat tersebut turut menampilkan demonstrasi silat oleh Seni Silat Cekak Malaysia, Seni Gayung Patani Malaysia, IP Man Wing Chun, Seni Silat Lincah Malaysia, Persatuan Nillaikalakki Silambam Malaysia, Seni Pusaka Gayung Malaysia, dan demonstrasi lakonan Pentas oleh PSSCMUSM Kampus Kejuruteraan USM.

IMG 1030

IMG 1015

Bersempena sambutan 50 Tahun Jubli Emas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) ini juga turut diadakan adalah Kolokium Seni Silat Cekak Malaysia (KoSSCeM) yang melibatkan pembentangan kertas kerja dalam kalangan setiap Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang mempunyai PSSCM di seluruh Malaysia melalui kajian secara ilmiah mahupun saintifik mengenai ilmu-ilmu yang terdapat dalam seni silat cekak.

Program ini dikendalikan PSSCMUSM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USM. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1682

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024