HBP SPORTS DAY (JUBLI EMAS) ERATKAN HUBUNGAN SILATURAHIM 700 WARGA HBP
USM PULAU PINANG, 8 Mei 2023 – Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (HBP, USM) hari ini telah menganjurkan HBP Sports Day buat julung kalinya bersempena dengan Sambutan Jubli Emas HBP di Kompleks Sukan Azman Hashim, USM.
Program yang disertai seramai 700 orang staf dan pelajar HBP itu dirasmikan oleh Dekan HBP, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rodzi Ismail.
Mohd Rodzi dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau berharap agar kejohanan sukan yang mengumpulkan keseluruhan warga HBP seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan agar hubungan silaturahim antara kesemua warga pusat pengajian akan terus dieratkan.
“Selaku Dekan HBP, saya berharap agar kejohanan sukan ini dapat menjadi salah satu wadah menjadikan HBP bersatu dan disegani.
“Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada semua Jawatankuasa Pelaksana yang menjayakan acara gilang-gemilang HBP dan terima kasih kepada para pelajar dari setiap program yang memeriahkan lagi kejohanan ini,” kata Mohd Rodzi.
Sementara itu, Pengerusi Kejohanan HBP Sports Day, Dr. Mohd Ismail Isa dalam ucapan aluannya berkata, kejohanan sukan yang dianjurkan pada kali ini adalah bertujuan untuk menyatupadukan keseluruhan warga HBP.
“It’s not about winning, but how we unite as HBP,” katanya.
Ismail juga memaklumkan bahawa pihak jawatankuasa telah menyediakan pelbagai jenis acara untuk dipertandingkan buat kesemua pelajar yang hadir dari pelbagai program.
“Kita telah menyediakan pelbagai aktiviti pada hari ini seperti futsal, badminton, sukaneka, cheerleading dan cabutan bertuah kepada pelajar-pelajar semua,” tambahnya lagi.
Turut hadir pada kejohanan adalah Timbalan Dekan Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa, Profesor Madya Dr. Radzi Ismail; Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Penglibatan Industri-Komuniti, Dr. Ernawati Mustafa Kamal; Pengerusi Program dan Koordinator Program.
Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (pelajar intern MPRC)/Foto: Shahnizam Abd Rahim
- Created on .
- Hits: 713