USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

850 BAKAL JEMAAH HAJI PULAU PINANG SERTAI KURSUS PERDANA HAJI 1444H DI USM

IMG 0193

USM PULAU PINANG, 6 Mei 2023 – 850 orang bakal jemaah haji dari negeri Pulau Pinang telah menghadiri Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Pulau Pinang Musim Haji 1444H/2023M yang diadakan di Masjid Al-Malik Khalid, Universiti Sains Malaysia (USM).

Mereka antara jemaah yang terpilih dalam kalangan 31,600 jemaah haji Malaysia keseluruhan yang bakal menunaikan haji pada tahun ini.

IMG 0206

Kursus Perdana Haji kali ini turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman bagi merasmikan kursus tersebut.

Di majlis perasmian, beliau menyeru agar jemaah haji dapat mengekalkan prestasi terbaik sebagai jemaah Malaysia yang berilmu dan berdisiplin, seperti mana yang telah diamalkan sebelum ini.

IMG 0176

"Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua petugas dan pembimbing atas komitmen menjayakan Kursus Perdana Haji 1444H. Semoga usaha ini menjadi amal jariah yang diberkati," ucap beliau ketika merasmikan majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Ahmad Zakiyuddin turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tabung Haji (TH) kerana telah memenangi Anugerah Labbaitom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik Dalam Dunia Islam yang telah diterima daripada Kerajaan Arab Saudi.

IMG 0235

Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang turut hadir ke majlis perasmian ini mengucapkan tahniah kepada semua bakal jemaah haji yang terpilih.

IMG 0170

"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan TH Pulau Pinang kerana telah memilih USM tahun ini sebagai tempat praktikal dan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Pulau Pinang," ujar Naib Canselor dalam ucapannya.

IMG 0180

Pada kursus tersebut, USM telah menyediakan lokasi praktikal di sekitar Masjid Al-Malik Khalid termasuk kemudahan buat para bakal jemaah haji Pulau Pinang bagi persediaan rapi sebelum menunaikan ibadat haji yang sebenar kelak.

Turut hadir ialah Setiausaha Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Dato' Haji Samsudin Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Dato' Amran Hazali; Pengarah Eksekutif Operasi Lembaga TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab; Pengarah Wilayah Utara Lembaga TH, Dato' Mohammad Mokhzani Mukhtar; Pengarah Negeri Pulau Pinang Lembaga TH, Hajah Maznizan Mamat; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato' Gs. Dr. Narimah Samat dan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman.

Teks: Nurhidayah Shahbuddin/Foto: Mohd Fairus Md Isa  

  • Created on .
  • Hits: 568

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024