USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARI BAHASA IBUNDA MARTABATKAN BAHASA TERPINGGIR

IMG 0081

KUBANG KERIAN, 30 April 2015 - Sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia 2015 yang dianjurkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dengan kerjasama Majlis Profesor Negara, Dewan Bahasa Dan Pustaka (Wilayah Timur) serta Universiti Malaysia Kelantan (UMK) adalah satu usaha memartabatkan bahasa-bahasa yang terpinggir di dunia serta menyedarkan masyarakat terhadap pentingnya bahasa ibunda sebagai warisan negara dalam memperkasakan bahasa dan budaya dalam konteks kepelbagaian bahasa dan budaya rakyat Malaysia dan serantau.

Sambutan diisi dengan dialog ‘Cakna Warisan Bahasa Ibunda Kita’ yang dirasmikan oleh Ketua Kluster Sejarah, Warisan Dan Sosio Budaya, Majlis Profesor Negara, Profesor Dato' Dr Teo Kok Seong yang turut menyampaikan ucap utama.

IMG 0116

"Malaysia perlu memperingati Hari Bahasa Ibunda ini ketika ramai yang menganggap bahasa ibunda di negara ini seperti dialek Melayu Kelantan, bahasa Cina Suku Hokkien, ataupun bahasa Orang Asli Semai tidak mempunyai nilai yang tinggi jika dibandingkan dengan bahasa besar seperti bahasa Melayu Standard, bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris menyebabkan ibu bapa tidak berminat mewariskan bahasa leluhur kepada anak mereka," kata Teo Kok Seong.

Namun jelasnya, bahasa kecil ini perlu terus dipelihara dan dipupuk agar sejarah kita misalnya Orang Melayu Kelantan atau Peranakan Baba Melaka bersama-sama dengan ciptaan seni serta karya sastera, pahlawan serta tokoh bangsa kita dapat dikenali dan dihargai oleh generasi akan datang.

Hari Bahasa Ibunda Sedunia disambut pada 21 Februari setiap tahun melalui pengisytiharan oleh UNESCO Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk mengiktiraf kepelbagaian bahasa dan budaya dalam kalangan penduduk dunia dengan menginterpretasikan bahasa ibunda merupakan bahasa yang pertama sekali dikuasai oleh seseorang dan digunakan untuk berhubung sesama keluarga serta lingkungannya sama ada bahasa itu besar atau sebaliknya yang begitu penting dalam kehidupan sesuatu kelompok etnik sebagai satu budaya amalan.

IMG 0083

Hadir sebagai panel ialah Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK Profesor Dr Harun Daud, Pensyarah Universiti Walailak, Nakhonsithammarat Thailand Abdul Razak Panaemalae, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM Mohd Shahrul Imran Lim Abdullah dan mantan Pengerusi Persatuan Siam Kelantan Eh Chot A/L Cha Chan.
- Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Mohd Nazri Mat Zain

  • Created on .
  • Hits: 1668

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024