USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRODUK 'MOFRESH WHITE' KOLABORASI ANTARA USM DAN HANNAN MEDISPA BAKAL MENEMUI PENGGUNA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Mei 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Usains Infotech Sdn. Bhd. hari ini telah menandatangani perjanjian pelesenan bersama Hannan Medispa Sdn. Bhd. bagi mengkomersialkan produk ‘Mofresh White’. 

'Mofresh White' merupakan ubat gigi pemutih digabungkan dengan pen pemutih yang direka untuk memaksimumkan pembersihan dan pemutihan tanpa merosakkan gigi.

344328015 213540521409802 3101450431705507811 n

Majlis penandatanganan perjanjian tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Syarikat USAINS, Farid Wajidi Mat Yusoff bersama Pengarah, Pusat Inovasi dan Perundingan USM, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan bagi pihak Usains Infotech manakala Hannan Medispa pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Mohd Hanan Mohd Yusof dan Pengurus Hannan Medispa Sdn. Bhd., Hannan Jamaludin.

Menurut Farid Wajidi, dalam meniti arus kemodenan kini, kajian menunjukkan kebanyakan individu tidak berpuas hati dengan warna gigi mereka kerana keinginan yang kuat untuk mempunyai gigi yang lebih putih. 

“Namun begitu, disebabkan faktor usia, penyakit genetik seperti ‘amelogenesis imperfecta’ dan ‘dentinogenesis imperfecta’ menyebabkan permukaan pada dentin terdedah akibat gigi haus, merokok dan pemakanan, maka gigi akan berubah warna kepada kekuningan serta kusam.

344203638 186504244254457 4800583883159731941 n

“Produk pemutihan gigi menjadi semakin popular disebabkan permintaan yang tinggi untuk mendapatkan gigi yang lebih putih. Terdapat pelbagai jenis produk dan teknologi di pasaran pada hari ini yang digunakan untuk menangani perubahan warna gigi,” katanya.

Tambah Farid Wajidi, agen pengkakis yang terdapat dalam ubat gigi memainkan peranan penting dalam membersihkan gigi dan tahap kakisan perlu dikawal. 

“Ubat gigi dengan bahan pengkakis yang tinggi boleh menyebabkan penurunan gusi, kakisan pada gigi serta hipersensitiviti gigi. 

“Oleh itu, USM bersetuju berusahasama dan membantu Hannan Medispa Sdn. Bhd. untuk mengkaji dan mereka produk pemutih gigi bagi memaksimumkan pembersihan serta pemutihan tanpa merosakkan keadaan asal gigi,” ujarnya lagi.

Farid Wajidi berkata, projek penghasilan produk ‘Mofresh White’ ini diketuai oleh Dr. Tuan Nadrah Naim T Ismail @ T Manah bersama Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis dan Profesor Madya Dr. Azlina Ahmad dari Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG), USM.

“Dalam Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2021, ciptaan ini telah memenangi pingat emas. 

“Tidak seperti ubat gigi pemutih lain di pasaran, ‘Mofresh White’ memutihkan gigi tanpa mengurangkan ketumpatan enamel berdasarkan kajian yang dijalankan secara in vitro,” jelasnya.

344211705 1239919383580503 1461328304069983358 n

Sementara itu, Dr. Mohd Hannan pula berkata, formulasi ubat gigi ‘Mofresh White’ dijangka menemui pengguna dalam masa dua (2) tahun dari tempoh perjanjian ini dimeterai. 

“Hannan Medispa Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang bertanggungjawab untuk pengkomersialan.  Dengan nilai komersial jenama yang ada, kami amat optimis untuk membawa produk ini kepada pengguna.

“Diharapkan produk ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak dalam memilih produk pemutih gigi yang bersesuaian dan pilihlah produk keluaran tempatan untuk membantu meningkatkan ekonomi negara,” katanya.

Turut hadir menyaksikan majlis ini ialah Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), PPSG, Profesor Madya Dr. Suharni Mohamad.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 500

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024