USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RUANG PENYELIDIKAN BERSEPADU (RPS) SEDIA BEROPERASI SEPENUHNYA

NIBONG TEBAL, 29 April 2015 - Ruang Penyelidikan Bersepadu (RPS), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang berharga RM14 juta berjaya disiapkan sepenuhnya dan dengan rasminya diserahkan kepada USM, di sini hari ini.

RPS sebelum ini mendapat perhatian muka hadapan sebuah akhbar utama Bahasa Inggeris Disember lalu yang mendakwa projek ini bermasalah. RPS terletak bersebelahan dengan bangunan Pusat Penyelidikan Sains & Kejuruteraan (SERC) memberi kemudahan penyelidikan dan pembelajaran kepada Pusat Pengajian serta merupakan mercu tanda kedua kampus ini selepas SERC.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak berkata, projek tersebut telah siap sepenuhnya pada pertengahan Februari tahun ini walaupun terdapat cabaran dan rintangan sejak mula pembinaannya.

“Saya harap kita dapat gunakan ruang ini sepenuhnya untuk aktiviti penyelidikan dan dimanfaatkan oleh para pelajar dan akhirnya menghasilkan impak yang baik kepada universiti,” ujar Zainal.

Beliau bercakap dalam majlis ringkas penyerahan projek yang berlangsung di bangunan baru Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Zainal meminta semua yang berkepentingan dengan bangunan ini melihat dan memberi sebarang komen terhadap sebarang kecacatan bangunan dalam tempoh satu tahun bermula sekarang.

Sementera itu, wakil Arkitek ICB Sdn. Bhd., Ar. Mahamoud Hussin selaku perunding projek berkata walaupun telah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang pembinaan, banyak pengalaman yang diperolehi daripada projek RPS ini.

Beliau bersyukur dan berbangga kerana akhirnya dapat menyiapkan projek tersebut yang telah ditetapkan enam tahun yang lalu walaupun terpaksa akur dengan harga yang sama dan penambahan ruang yang lebih luas.

“Kami sebagai perunding berharap agar pengguna dapat menikmati dan memanfaatkan bangunan yang telah kami sediakan hari ini,” katanya.

Timbalan Pengarah, Jabatan Pembangunan, Kampus Kejuruteraan, Hamdan Mohd Hassan pula berkata dengan azam dan tahap profesionalisme yang tinggi serta kesanggupan universiti mengambil risiko di samping kebijaksanaan dalam menangani isu yang timbul telah membawa kepada kejayaan pembinaan projek tersebut.

“Projek yang kita ilhamkan satu masa dahulu akhirnya menjadi kenyataan pada hari ini dan saya mendoakan semoga usaha ini diberkati kerana setiap amalan dalam memartabatkan ilmu pasti mendapat ganjaran yang baik daripada Allah SWT,” kata Hamdan berucap pada majlis yang sama.

Dalam pada itu, Pengurus Besar, K-Jitra Sdn. Bhd., Zainudin Shaary berkata, pihaknya telah mendapat kerjasama yang baik khususnya daripada Jabatan Pembangunan USM dalam memastikan projek tersebut berjaya disiapkan.

“Sekiranya pihak kami tidak mendapat kerjasama yang baik kemungkinan besar projek ini tidak dapat disempurnakan secepat yang mungkin”, kata Zainudin selaku wakil kontraktor yang bertanggungjawab menyiapkan projek RPS itu.

Upacara simbolik penyerahan dokumen serah tapak itu telah diterima oleh Pengarah Jabatan Pembangunan USM, Ir. Aziz Che Jusoh daripada Pengarah Eksekutif Kanan, Arkitek ICB Sdn. Bhd., Ar. Mahamoud Hussin dengan disaksikan oleh Pengarah Kampus, wakil-wakil kontraktor yang terlibat dan beberapa perunding serta jurutera USM. - Teks: Mohd Kamil Ashar/Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin

  • Created on .
  • Hits: 1108

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024