USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CUACA PANAS MELAMPAU, AWAS STROK HABA

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 April 2023 – Strok haba merupakan suatu penyakit yang serius akibat pendedahan kepada keadaan sekeliling yang panas melampau sehingga menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan dan ianya berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40°C (darjah celsius) atau lebih. Kejadian strok haba boleh berlaku secara tiba-tiba atau berperingkat. 

Kadar kejadian strok haba adalah berbeza bergantung kepada faktor geografi, cuaca dan aktiviti penduduk setempat. Risiko strok haba adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeliling melebihi 39.2°C.

IMG 20230426 WA0028

Menurut Pensyarah Perubatan, Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Nik Rosmawati Nik Husain, berdasarkan laporan World Health Organization (WHO) 2023, fenomena gelombang haba berterusan di Eropah pada pertengahan tahun 2022 telah menyebabkan lebih 20,000 kematian akibat strok haba. 

“Di Malaysia pula, 200 kes penyakit berkaitan haba telah dilaporkan yang mana 22 kes adalah strok haba. Oleh itu, tindakan proaktif hendaklah diambil bagi mengelak kejadian penyakit berkaitan haba seperti strok haba.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) juga telah melaporkan bahawa gelombang panas dan kering sedang melanda negara akibat peralihan monsun dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga bulan Julai 2023 selain turut melanda negara-negara Asia lain termasuk Thailand, Vietnam, China, India dan Bangladesh,” ujarnya.

Nik Rosmawati berkata, individu yang melakukan aktiviti atau bekerja dalam keadaan sekeliling yang panas dikenal pasti berisiko tinggi mendapat strok haba seperti pekerja pembinaan, petani, pengawal keselamatan, polis, tentera, bomba, pengendali jentera berhaba, atlet dan aktiviti-aktiviti luar yang dijalankan di bawah sinaran matahari terik. 

“Selain itu, beberapa golongan rentan juga dikenal pasti meningkatkan lagi risiko mendapat strok haba seperti warga emas, kanak-kanak dan individu dengan penyakit kronik.

“Strok haba tidak wajar dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan komplikasi serius. Berdasarkan satu artikel yang ditulis oleh Bouchama et al. (2022), kesan jangka pendek akibat dari pendedahan mengejut kepada cuaca yang panas boleh mengakibatkan sel-sel badan cedera, berlaku keradangan, darah senang membeku dan berlaku pendarahan di beberapa organ penting. 

“Mangsa strok haba boleh mengalami kesan jangka panjang seperti masalah saraf, sistem kardiovaskular dan risiko kematian,” jelasnya lagi.

Tambah Nik Rosmawati, orang awam perlu mengetahui tanda-tanda dan gejala strok haba agar tindakan segera dapat diambil.

“Antara tanda-tanda seseorang itu mengalami strok haba ialah denyutan jantung menjadi cepat dan pesakit akan merasa berdebar-debar (denyutan jantung normal: 60-100/minit), pernafasan laju dan pendek (kadar pernafasan normal: 12-20/minit), badan terasa panas dan kering, sakit kepala, pening dan kepala rasa berpusing, berasa mual, peningkatan suhu badan secara mendadak sehingga 40°C atau lebih (suhu badan normal: 36.5°C hingga 37.5°C), tekanan darah menurun (tekanan darah normal: 120-140/60-80 mmHg) serta tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan.

“Orang awam juga perlu mengetahui beberapa langkah pencegahan penting untuk mengelak berlakunya strok haba iaitu tidak melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan panas untuk tempoh yang panjang; elak melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan; pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong tiga (3) hingga empat (4) liter sehari; mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang; memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung; tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik serta memastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran sekiranya mempunyai tanda-tanda awal penyakit berkaitan haba.

“Sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada METMalaysia dan amaran kesihatan berkaitan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kurangkan atau elak daripada melakukan sebarang aktiviti luar mahupun bersenam ketika cuaca panas terik,” rayunya lagi.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 1311

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024