USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BPMB DAN PNB BERI SUMBANGAN PERALATAN HAMPIR RM800,000 KEPADA HOSPITAL USM

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 April 2023 – Dalam usaha memastikan golongan kurang berkemampuan khususnya B40 menerima rawatan yang sewajarnya di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyumbangkan zakat untuk membeli peralatan bernilai hampir RM800,000.

IMG 20230402 WA0013

PNB berbesar hati memberi sumbangan alat ‘Ultrasonic Cement Extractor’ bernilai RM300,000 manakala BPMB pula menyerahkan sumbangan zakat pembelian peralatan rawatan ortopedik berjumlah RM498,990 untuk kegunaan pesakit Hospital USM.

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, bagi pihak Hospital USM, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada BPMB dan PNB atas sumbangan yang diberikan.

IMG 20230402 WA0014

“Hospital USM sangat berbesar hati menerima sebarang sumbangan daripada syarikat-syarikat korporat, konglomerat, institusi kewangan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak-pihak lain dalam usaha membantu meringankan beban pesakit.

“Seperti semua sedia maklum, kebanyakan pesakit di Kelantan tergolong dalam kategori B40 serta miskin tegar dan apabila terdapat ahli keluarga yang dimasukkan ke hospital, keadaan kewangan keluarga menjadi lebih rumit dan membebankan. 

IMG 20230402 WA0012

“Sumbangan zakat sama ada dalam bentuk wang atau peralatan amat membantu dalam melicinkan proses perawatan pesakit selain dapat mengurangkan kos atau perbelanjaan sepanjang mereka berada di hospital,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penghargaan Sumbangan Dana Zakat oleh BPMB dan PNB, hari ini.

Tambah Shaharum, sumbangan zakat oleh BPMB merangkumi peralatan yang diguna pakai secara bersama dalam meningkatkan mutu rawatan pesakit di Hospital USM seperti 'Ultrasonic Cement Removal System’, ‘Portable Ultrasound’ dan ‘Limb Reconstruction System’ (pembedahan korektif rekonstruktif kanak-kanak yang cacat anggota).

“Selain itu, sumbangan zakat ini juga termasuk peralatan untuk kegunaan pakai tetap atau pakai buang yang diberikan kepada pesakit seperti kimopot (chemo pot), set penjagaan luka terkini (vacuum assisted wound therapy) dan pam pencegahan pembekuan darah (DVT pump).

“Sumbangan zakat daripada institusi kewangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini diharap menjadi contoh untuk lebih ramai penyumbang tampil menyalurkan sumbangan bagi melaksanakan lebih banyak aktiviti yang memberi manfaat dan impak besar kepada masyarakat khususnya rakyat di Kelantan,” ujarnya lagi.

IMG 20230402 WA0011

Shaharum berkata, sumbangan zakat ini diperoleh melalui inisiatif Pensyarah Kanan yang juga Pakar Perunding Ortopedik, Profesor Dr. Wan Faisham Nu’man Wan Ismail yang membuat permohonan kepada kedua-dua penyumbang sehingga membawa kepada persetujuan dengan tujuan untuk menyampaikan zakat syarikat secara terus kepada pesakit Hospital USM. 

“Selain itu, penghargaan juga ditujukan kepada Jabatan Ortopedik, Unit Perubatan Pemulihan dan Unit Sains Rekonstruktif yang turut menjayakan penyerahan sumbangan zakat ini kepada pesakit-pesakit lain di Hospital USM.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengurusan Syariah Kumpulan, BPMB, Noor Ain Mohd Amin; Ketua Pengurusan Syariah, PNB, Dr. Ahmad Basri Ibrahim; Timbalan Pengarah (Operasi), Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof serta ketua-ketua jabatan Pusat Pengajian Sains Perubatan dan Hospital USM.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 315

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024