USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PRK USM-GAPP-UIN ACHEH PERKUKUH JALINAN KERJASAMA UNIVERSITI-KOMUNITI DI PERINGKAT GLOBAL

IMG 5256

USM PULAU PINANG, 24 April 2023 – Demi untuk memperkasa dan menghakupayakan komuniti melalui konsep inovasi sosial dalam membantu peningkatan sosio-ekonomi di samping membina jalinan kerjasama berterusan antara universiti dan komuniti, Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Gabungan Anak Pulau Pinang (GAPP) telah berganding bahu melaksanakan sebuah program komuniti di Banda Acheh, Indonesia.

Program berkonsepkan pemindahan dan asimilasi ilmu tersebut membabitkan perkongsian kepakaran berkaitan dengan Pembangunan Lestari, Keperluan Pemilikan Perumahan, Pembangunan Ekonomi dan Kepimpinan Mahasiswa Masa Hadapan dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia yang kini sedang menuntut di UIN, Acheh, Indonesia, disertai seramai 20 mahasiswa/siswi GAPP dan telah diadakan pada 10 Mac 2023 - 15 Mac 2023 yang lalu.

IMG 5255

Menurut Pengarah PRK USM, Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim, yang mengetuai delegasi USM itu ketika mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan UIN, pertemuaan ini bertujuan untuk memantapkan lagi jalinan kerjasama antara PRK USM, GAPP dan pihak pentadbiran UIN dalam merangka strategi yang boleh menjadi panduan secara dua hala dalam menyelesaikan isu-isu semasa terutamanya yang melibatkan pembangunan pendidikan pelajar kedua-dua institusi pendidikan tinggi berkenaan.

“Jalinan kerjasama ini perlu terus diperkukuh demi memperkasakan aktiviti pembangunan lestari untuk menyokong agenda pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” kata Mohamad Haafiz.  

Tambah Penyelaras Program, Profesor Madya Dr. Sayuti Hassan, “program ini juga membantu membuka minda mahasiswa/siswi untuk berfikiran lebih kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan permasalahan kebolehpasaran graduan, yang kini menjadi salah satu daripada agenda kritikal yang harus diharungi oleh mahasiswa.”

“Hal ini kerana kualiti akademik bukanlah satu-satunya kriteria pengukur yang menjamin graduan untuk mendapatkan pekerjaan.

“Kini pihak majikan lebih selektif dan menilai graduan secara holistik yang merangkumi imej, kemampuan berkomunikasi, kebolehan berdikari, kemahiran kendiri yang pelbagai dan kukuh serta kebolehan untuk menyesuaikan diri terhadap persekitaran kerja,” katanya.  

Hasil dari lawatan tersebut, pihak UIN juga mengalu-alukan jika terdapat pelajar-pelajar dari USM yang ingin menyambung pengajian atau menjalani latihan industri di sana.

Turut serta dalam program tersebut ialah Zulfadhli Hamzah (Atase Pendidikan, Education Malaysia Indonesia [EMI], Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta) dan Jamaruslam Abdullah (Pengarah Bahagian Penyelarasan, Jabatan Perdana Menteri).

Semoga usaha yang dijalankan oleh Pusat Rancangan Kokurikulum dengan kerjasama GAPP akan mampu melahirkan generasi yang lestari masa kini dan akan datang.

Teks asal: Profesor Madya Dr. Sayuti Hassan, Penyelaras Program & Profesor Madya Dr. Mohamad Haafiz Mohamad Kassim, Pengarah PRK-USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 450

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024