USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR UCAP SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2023

cadcc169 ff3b 4c53 80e9 fbc2a0ad4a71

USM PULAU PINANG, 22 April 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mewakili kepimpinan tertinggi universiti mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 2023 kepada seluruh warganya termasuk para alumni serta pemegang-pemegang taruh utama yang sentiasa dekat dengan USM.

“Hari raya pada tahun ini merupakan satu titik tolak kepada kita semua umat Islam untuk meraikannya dengan penuh kesyukuran, kesederhanaan dan menggunakan sepenuhnya perayaan ini untuk mengukuhkan silaturahim antara rakan taulan dan sahabat handai,” kata Abdul Rahman.

Katanya lagi, apa pun yang telah berlaku selama ini, janganlah kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik dan yang ditimpa musibah terutamanya rakan-rakan dan seluruh umat manusia yang kini berhadapan krisis kemanusiaan, peperangan, penindasan dan bencana lainnya serta mengambil iktibar dan bersyukur dengan segala rahmat yang kita nikmati selama ini.

“Kita tidak seharusnya mengambil sikap sambil lewa dengan sebarang perkara yang mengganggu gugat serta mengancam kesejahteraan masyarakat, agama dan negara sebaliknya perlu berusaha gigih untuk memelihara keharmonian yang terbentuk sekian lama untuk kelangsungan hidup,” tambahnya lagi.

Naib Canselor juga mengharapkan Aidilfitri kali ini akan membawa lebih lagi kesejahteraan, kebahagiaan dan kecemerlangan kepada semua dan Universiti berstatus APEX yang dicintai ini.

“Saya mengharapkan kita semua akan lalui bersama-sama masa depan bersama Menara Ilmu ini sebagai satu pasukan yang kuat dalam menghadapi segala rintangan dan merealisasikan segala ujian, dugaan dan tanggungjawab yang datang untuk memacu nama universiti ini ke tahap yang lebih cemerlang lagi,” kata Abdul Rahman lagi.

Umat Islam seluruh negara meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 22 April 2023.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 440

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024