PUSAT PERUBATAN USM BERTAM (PPUSMB) UNGGULI RAWATAN BRAKITERAPI UNTUK RAWAT KANSER LIDAH, HATI DAN SARKOMA
BERTAM, 21 April 2023 – Pusat Perubatan USM Bertam (PPUSMB), Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi satu-satunya pusat perubatan di Asia Tenggara yang menawarkan kaedah rawatan brakiterapi untuk kanser mulut (lidah), hati dan sarkoma (tisu lembut).
Perkhidmatan brakiterapi bermula di sini pada tahun 2015 dengan rawatan kanser pangkal rahim (kanser serviks) dan pada tahun 2016 kes pertama kanser mulut (lidah) dirawat dengan teknik brakiterapi.
Pada masa ini, rawatan brakiterapi untuk kanser mulut (oral cavity) hanya terdapat di beberapa buah negara seperti Jerman, India, Jepun, Itali dan Malaysia melalui PPUSMB.
Pakar-pakar dari PPUSMB telah mencipta teknik rawatan kanser mulut yang dinamakan sebagai HyBIRT (Hybrid Brachytherapy diikuti dengan Intensity Modulated Radiation Therapy) yang menggabungkan rawatan brakiterapi dan radioterapi luaran (external).
HyBIRT PPUSMB menjadi perintis kepada teknik ini di seluruh dunia yang menjadi pilihan pesakit kanser mulut terutamanya kanser lidah untuk mengelak daripada menjalani rawatan secara pembedahan yang memerlukan sebahagian lidah mereka dipotong dan menjejaskan pertuturan selepas rawatan.
Pakar-pakar dari seluruh dunia telah menunjukkan minat untuk mempelajari teknik ini dari PPUSMB dengan menjemput pakar di sini berkongsi melalui pelbagai platform antarabangsa.
Perawatan brakiterapi hati hanya terdapat di 5 pusat perubatan atau hospital sahaja di seluruh dunia iaitu di Frankfurt dan Munich di Jerman, Tata Memorial Cancer Centre India, PPUSMB Malaysia dan di Amerika Syarikat.
Rawatan Brakiterapi Hati mula ditawarkan di PPUSMB sejak tahun 2018. Rawatan brakiterapi lidah dan hati tidak ditawarkan di mana-mana hospital di Asia Tenggara selain di PPUSMB.
PPUSMB juga merupakan pusat perubatan di Malaysia yang menjadi pusat rujukan bagi kes-kes Vaginal VAULT Recurrence. Pesakit-pesakit dari seluruh Malaysia dirujuk ke sini untuk rawatan lanjut dengan brakiterapi interstitial. Rawatan ini juga mula ditawarkan pada tahun 2016.
Kaedah rawatan Brakiterapi Sarkoma pula hanya terdapat di India, Eropah, dan di PPUSMB dengan kerjasama pakar sarkoma dari Hospital Universiti Sains Malaysia yang mula ditawarkan pada tahun 2021.
Kecemerlangan PPUSMB dalam bidang brakiterapi ini diberi pengiktirafan oleh badan profesional brakiterapi yang berpangkalan di Belanda, iaitu BrachyAcademy yang memberi akreditasi kepada PPUSMB (pada ketika itu dikenali sebagai IPPT) sebagai Pusat Latihan dan Penyelidikan Antarabangsa BrachyAcademy pada tahun 2020.
Majlis pengisytiharan akreditasi ini telah dihadiri oleh wakil BrachyAcademy pada 28 Mac 2022 yang disempurnakan oleh Naib Canselor USM ketika itu.
Pakar-pakar radioterapi dan fizik perubatan mempelajari teknik-teknik perawatan brakiterapi di sini sejak tahun 2018.
Sehingga kini, Pusat Perubatan USM Bertam merupakan satu-satunya di Malaysia yang mempunyai akreditasi berprestij dalam lima (5) jenis kanser iaitu ginekologi, esofagus, hati, prostat dan kepala & leher sekaligus membuktikan kepakaran brakiterapi di sini mendapat pengiktirafan dunia (rujukan: www.brachyacademy.com).
Sehingga kini, hampir 1,000 pesakit dari seluruh negara dan dari Indonesia dan Australia telah dirujuk ke sini untuk sesi perundingan dan sejumlah hampir 600 pesakit telah menjalani prosedur brakiterapi di sini.
Sejak menerima pengiktirafan sebagai BrachyAcademy, PPUSMB telah menerima undangan dan permohonan daripada ahli brakiterapi luar negara untuk hadir dan mendapatkan latihan di sini (fellowship training in brachytherapy).
Antaranya pakar dari Singapura yang ditaja sepenuhnya oleh International Atomic Energy Agency (IAEA), Vienna.
Lanjutan daripada itu, pihak National University of Singapore (NUS) dan PPUSMB kini dalam proses menyediakan nota perjanjian Memorandum Perjanjian (MoA) untuk latihan fellowship di PPUSMB selama 1 tahun. NUS bercadang menghantar 3 pakar onkologi, 2 ahli fizik perubatan dan mengadakan latihan secara maya untuk jururawat.
PPUSMB akan mengeluarkan sijil latihan (fellowship certificate) kepada mereka yang telah menamatkan latihan mereka di sini.
Kaedah rawatan brakiterapi ini dijangka akan terus berkembang dan menjadi satu pilihan yang efektif bagi rawatan kanser selain kaedah sedia ada seperti pembedahan, radioterapi, dan kemoterapi yang pastinya memberi ruang pilihan yang lebih luas kepada pesakit-pesakit kanser.
Teks: Naziroh Shafii, Dr. Muhamad Yusri Musa & Dr. Mohd Zahri Abdul Aziz/Suntingan: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 526