USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-SACHA INCHI MANUFACTURING BEKERJASAMA DALAM PENYELIDIKAN KLINIKAL

c4652042 e87d 47aa bab6 0b79f1f12e53

USM PULAU PINANG, 18 April 2023 – Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa menggalakkan warga penyelidiknya untuk menjalinkan kerjasama akademik dan industri melalui perkongsian kepakaran saintifik yang dapat memanfaatkan kedua-dua pihak dan juga negara secara keseluruhannya.

Hal ini dapat dibuktikan melalui Perjanjian Kajian Klinikal yang dimeterai di kampus induk USM pada 24 Mac lalu di antara USAINS Infotech Sdn. Bhd. (UISB), iaitu anak syarikat USAINS Holding Sdn. Bhd. yang juga merupakan cabang komersial USM dan Sacha Inchi Manufacturing Sdn. Bhd. (SIMSB) iaitu sebuah syarikat terkenal dengan penghasilan produk sacha inchi yang berpangkalan di Pasir Gudang, Johor.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Pengarah Urusan, Kumpulan Syarikat USAINS, Farid Wajidi Mat Yusoff; Ketua Penyelidik dari Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Dr. Lee Lai Kuan; manakala SIMSB diwakili oleh Pengarah Urusannya, Owen Lem Kean Tai.

Kedua-dua pihak akan memulakan kajian percubaan klinikal yang bertajuk ‘Unrevealing the roles of Sacha Inchi Oil Supplementation on Cognitive Function, Mental Health and Academic Performance in Higher Grades Primary School Children: A Randomized, Double-Blinded, Placebo-Controlled Human Clinical Trial’.

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, beliau amat berbesar hati dan berterima kasih kerana penyelidik USM juga turut sama terlibat dan ini merupakan petanda baik kepada universiti yang sedang mempergiatkan penyelidikan klinikal.

“Saya yakin pasukan penyelidik USM akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan kajian ini dan mendapat keputusan yang diinginkan, memandangkan pasukan penyelidik USM yang terlibat itu terdiri daripada pelbagai latar disiplin ilmu (multidisciplinary background) yang berbeza.

“Diharapkan hasil ujian klinikal berasaskan bukti akan memainkan peranan penting dalam menambah baik kesihatan manusia, terutamanya dalam pengujian ubat-ubatan pelengkap (complementary medicine) terkini daripada industri nutraseutikal dan farmaseutikal,” tambahnya.

Sementara itu, Owen Lem dalam ucapannya berkata, beliau bersyukur kerana SIMSB mengorak langkah untuk menjalinkan kerjasama dengan USM, satu-satunya Universiti APEX di Malaysia, dengan tujuan untuk mengkaji keberkesanan suplemen minyak sacha inchi bagi peningkatan fungsi kognitif, kesihatan mental dan prestasi akademik dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah di gred yang lebih tinggi di Malaysia.

“Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh SIMSB dan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk menambah baik penjagaan kesihatan, dan kami menyokong penuh kerjasama di antara industri-universiti untuk manfaat kesejahteraan manusia,” katanya.

Perjanjian Kajian Klinikal selama dua tahun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM467,400 akan diketuai oleh Dr. Lee Lai Kuan bersama rakan-rakan penyelidiknya, dan ia melibatkan perkongsian kepakaran yang berpotensi dalam aspek penyelidikan, perundingan dan libatsama universiti dan industri.

Yang turut hadir, ahli pasukan penyelidik – Dr. Nur Arzuar Abdul Rahim dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan Dr. Yasmin Othman Mydin dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan; serta pegawai-pegawai utama USM, Sacha Inchi Manufacturing Sdn. Bhd. dan USAINS Holding Sdn. Bhd.

Terjemahan: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 470

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024