USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC USM SANTUNI PELAJAR DI PROGRAM BALIK RAYA @ FESTIVAL RANCAK RIA RAYA 2023

USM PULAU PINANG, 20 April 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hadir menyantuni pelajar yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri yang bakal tiba sekaligus melabuhkan tirai penutupan Festival Rancak Ria Raya 2023 yang memasuki hari terakhir di Padang Kawad, Kampus Induk di sini.

IMG 5228

Naib Canselor mengucapkan selamat balik kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta dan sanak saudara, dan selamat kembali ke kampus nanti kepada hampir 500 orang pelajar dan warga kerja USM yang membanjiri Padang Kawad USM.

“Program Balik Raya ini merupakan satu usaha yang amat baik dan menunjukkan keprihatinan pihak universiti kerana menyediakan pengangkutan bas kepada pelajar-pelajar untuk pulang ke kampung berhari raya.

IMG 5227

“Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Majlis Pewakilan Pelajar (MPPUSM) dan Persatuan Anak Negeri USM yang mengambil inisiatif menganjur bersama program ini,” kata Naib Canselor.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengarah Projek, Program Rancak Ria Raya, Tuan Muhd Haiqal bin Tuan Muhd Akta bersama Sekretariatnya kerana menjayakan festival raya selama empat hari yang julung kalinya diadakan di USM.

“Ia sedikit sebanyak dapat mewujudkan suasana pengalaman beraya, khasnya kepada mahasiswa dan sesetengah pihak yang tidak dapat pulang beraya bersama keluarga tercinta disebabkan kekangan jarak,” katanya lagi.

Sebanyak 9 buah bas disediakan untuk menghantar pelajar-pelajar pulang ke destinasi masing-masing, meliputi empat buah untuk perjalanan ke Kelantan, dua ke Johor dan tiga ke Terengganu.

IMG 5229

Selain itu, pelajar juga dibekalkan dengan sedikit makanan dan minuman ringan semasa dalam perjalanan.

Bagi memeriahkan suasana program, turut diselitkan ialah persembahan percikan bunga api yang mewarnai dan menerangi ruang angkasa USM.

Hadir bersama ialah Jelfariny Mohd Jelahni, Timbalan Pendaftar BHEPA mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM; Sekretariat program Festival Rancak Ria Raya; Yang Dipertua MPPUSM, Afirul Idris Ayub Khan beserta barisan MPPUSM; dan warga kerja BHEPA.

Teks: NirMaryadi Rashid & Tan Ewe Hoe/Foto: NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Dokumentasi BHEPA USM

  • Created on .
  • Hits: 382

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024