WARGA PPDU USM CERIAKAN PESAKIT WAD KANAK-KANAK DI HOSPITAL PULAU PINANG DALAM PROGRAM LIBATSAMA UNIVERSITI-KOMUNITI
GEORGETOWN, PULAU PINANG, 19 April 2023 – Bersempena dengan Bulan Ramadhan Al-Mubarak, Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (PPDU) Universiti Sains Malaysia (USM), meneruskan lagi program libatsama universiti-komuniti dengan menganjurkan Program Tautan Kasih Ramadhan sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat sekeliling dengan melawat pesakit-pesakit di wad kanak-kanak (pediatrik) Hospital Pulau Pinang.
Program ini dianjurkan untuk kali kesembilan pada tahun ini setelah tiga tahun program ini tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik wabak COVID-19, namun tujuannya tetap sama iaitu untuk menceriakan kanak-kanak di wad pediatrik sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurut penyelaras program, Dr. Darshan Singh Mahinder Singh, program ini juga bertujuan untuk meraikan Aidilfitri bersama para pesakit khususnya kanak-kanak dan jururawat bertugas yang terpaksa berada di wad hospital semasa hari raya dan tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk meraikan bersama keluarga.
“Program ini mendapat sokongan penuh daripada Pengarah PPDU USM, Profesor Dr. Vikneswaran Murugaiyah dan seluruh warga kerja PPDU bersama pihak Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi (BJIM&KI), yang mana program ini juga secara tidak langsung dapat mengumpulkan staf-staf USM dari pelbagai latar belakang, etnik dan agama,” kata Darshan.
Tambah Darshan, beliau merancang untuk mengadakan sudut perpustakaan mini di wad pediatrik dengan bekerjasama dengan pihak Purpustakaan Hamzah Sendut USM kerana beliau percaya untuk menyembuhkan pesakit bukan sahaja dari segi perubatan medik, malah terapi terapeutik juga memainkan peranan kepada kesembuhan sesuatu penyakit.
“Saya berharap agar program libatsama seperti ini akan terus dijalankan bagi berkongsi kegembiraan dan keceriaan bersama insan-insan yang kurang bernasib baik ini,” tambah beliau lagi.
Sebanyak 140 paket duit raya dan ‘goodie bag’ diedarkan di wad kanak-kanak onkologi dan nefrologi, pembedahan dan perubatan kepada pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan menjelang Hari Raya ini.
Pesakit dan juga kakitangan yang bertugas di wad turut dihiburkan dengan kehadiran maskot kartun bagi menceriakan suasana di wad.
Hadir sama pada program adalah Pengarah PPDU USM, Profesor Dr. Vikneswaran Murugaiyah; Pensyarah PPDU, Dr. Farah Wahida Suhaimi dan Dr. Juzaili Azizi yang juga Presiden Kelab Staf PPDU; wakil BJIM&KI, Muhamad Amirul Haizad; Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM, Tan Ewe Hoe; pegawai-pegawai utama USM; pegawai-pegawai Pejabat Perhubungan Awam Hospital Pulau Pinang; dan jururawat-jururawat yang bertugas di wad pediatrik.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 542