MAHASISWA DISERU PERTINGKAT TAHAP KEUPAYAAN DIRI
PULAU PINANG, 30 April 2015 - Mahasiswa diseru agar meningkatkan tahap keupayaan diri dalam menghadapi arus globalisasi dan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam hidup kerana tiada jalan pintas untuk berjaya di samping mempunyai nilai jati diri.
Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat seruan ini dalam Siri Cakna Ilmu ke-8 Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) bertajuk "Mendepani Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad" di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM, di sini, hari ini.
Beliau menasihati para mahasiswa agar menumpukan sepenuhnya untuk mencapai kejayaan dalam akademik sebelum berhasrat untuk melakukan hal-hal lain dalam membantu masyarakat dan negara.
“Mahasiswa perlu percaya pada kebolehan diri dan optimis dalam merancang kehidupan untuk kelangsungan dan kecemerlangan pada masa hadapan dengan mempunyai kebolehan dalam menghadapi apa jua cabaran dan yang utama memberi sepenuh perhatian kepada pelajaran dalam menentukan hala tuju kehidupan pada masa hadapan,” kata Mahathir di hadapan hampir 3,000 orang membanjiri DTSP USM itu.
Ketibaan beliau disambut dengan meriah oleh para mahasiswa USM yang membanjiri dewan seawal jam 8 pagi.
Mahathir menggesa agar para pelajar sentiasa meningkatkan keupayaan dalam menguasai pelbagai cabang ilmu dan berpegang kepada adab dan nilai-nilai agama dan moral yang tinggi untuk mencapai kemajuan pada masa hadapan tanahair.
“Kita perlu tafsirkan apakah makna negara maju yang kita inginkan, bukan hanya berpendapatan tinggi tetapi juga kualiti hidup yang ingin dikecapi selaras dengan kemajuan yang dinikmati kerana apalah maknanya negara maju jika pendapatan yang tinggi hanya diikuti oleh kos hidup yang tinggi dan kita menderita dengan kemajuan yang diperolehi,” kata Mahathir.
Beliau juga menasihati anak-anak muda agar tidak memilih jalan yang mudah sama seperti memilih bidang pengajian yang diikuti tanpa perlu mencabar diri, tetapi perlu memilih bidang ilmu yang lebih sukar terutamanya dalam bidang Sains dan Teknologi untuk membolehkan seseorang itu menguasai dunia seluruhnya.
Mahathir turut menasihati para mahasiswa agar sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan untuk kemajuan masyarakat seluruhnya dengan meningkatkan kualiti hidup dan kemanusiaan sejagat lebih-lebih lagi dalam menghadapi situasi dunia yang semakin meruncing kini.
Program yang diadakan dalam bentuk bual bicara ini dikendalikan oleh alumni USM selaku moderator, Azhar Jalil yang menyentuh pelbagai aspek daripada kehidupan peribadi mantan Perdana Menteri keempat itu, kepada soal krisis mata wang, keamanan sejagat dan kualiti pendidikan negara.
“Sebaik mana pun sesuatu sistem, termasuklah autonomi dalam pendidikan jika tidak dikemudi dengan baik, ia tidak memberikan hasil yang diinginkan apatah lagi apabila terpaksa bergantung kepada orang lain dan kejayaan sesuatu sistem bergantung sebahagian besar kepada kepimpinan institusi atau organisasi itu yang tidak hanya berasaskan kepada peruntukan besar tetapi kecekapan dan produktiviti yang terhasil daripadanya,” kata Mahathir.
Ketika menyampaikan ucapan aluannya, Yang Dipertua MPPUSM, Mohamad Shafiq bin Kamaruddin menzahirkan rasa gembiranya dengan kehadiran mantan Perdana Menteri Malaysia keempat tersebut ke USM dan berharap agar para pelajar yang hadir dapat memperoleh manfaat dan input yang berguna khususnya untuk kecemerlangan pada masa hadapan.
Tun Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.
Beliau pernah dianugerahkan ijazah kehormat Doktor Sains daripada USM sempena majlis Konvokesyen ke-33 USM pada Ogos 2004.
Hadir sama ialah Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan, ahli-ahli Lembaga Gabenor serta Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman dan isteri, Datin Noraizan Jamaluddin serta Timbalan-timbalan Naib Canselor. - Teks: Mohamad Abdullah & Siti Naquiah Binti Abdillah/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1941