MPDIK-PIBG SMKDHMNA BEKERJASAMA BANTU TANGANI ISU KESIHATAN MENTAL DALAM KALANGAN MURID-MURID SEKOLAH
GELUGOR, PULAU PINANG, 18 April 2023 – Majlis Penghuni Desasiswa Indah Kembara (MPDIK) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menganjurkan Program Pembangunan Integriti Modal Insan dengan kerjasama pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Datuk Hj. Mohamed Nor Ahmad (SMKDHMNA) di Dewan An-Nur SMKDHMNA.
Program ini merupakan satu pendekatan dan perkongsian kepada pelajar SMKDHMNA supaya cakna terhadap masalah mental dan cara mengatasinya sebagai seorang pelajar di samping melibatkan diri dalam latihan berkumpulan yang menekankan aspek penjagaan mental sebagai prioriti utama.
Program Pembangunan Integriti Modal Insan ini disertai oleh lebih 300 orang murid dari tingkatan satu hingga tingkatan lima, yang mana program ini dibiayai oleh geran Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi (BJIM&KI) USM yang diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sains Komputer, Dr. Syaheerah Lebai Lutfi selaku Ketua Penyelidik projek bertajuk ‘Memperkasakan Pengesanan Kemurungan di Kalangan Pelajar Sekolah melalui Profiling Dashboard PowerBI’.
Hadir bagi merasmikan program ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.
Azlinda dalam ucapan perasmiannya berkata, program ini merupakan salah satu program yang baru diperkenalkan hasil inisiatif pihak MPDIK, yang mana program ini memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah murid agar dapat melahirkan penyambung generasi bermutu tinggi dan mempunyai keperibadian yang baik.
“Program ini juga dilihat mampu memperkasakan mahasiswa USM untuk terlibat dengan kerja sukarela melalui projek-projek BJIM&KI yang dilaksanakan untuk masyarakat dan pelajar sekolah, yang mana pemerkasaan mahasiswa merupakan antara agenda yang diberi keutamaan oleh universiti.
“Nasihat saya buat murid-murid adalah untuk menggunakan peluang seperti ini untuk bertanya kepada mahasiswa USM yang juga merupakan fasilitator anda dalam program ini tentang apa sahaja yang bermain di fikiran anda seperti isu atau masalah pembelajaran, pengurusan masa dan isu-isu lain yang berkaitan,” kata Azlinda.
Sementara itu, Pengetua SMKDHMNA, Amran Othman berkata beliau amat berbesar hati dengan kesudian USM untuk bersama-sama menyumbang bakti kepada murid-murid SMKDHMNA.
“Saya berharap agar sumbangan bakti dalam akademik dan pendidikan ini berterusan kerana program seperti ini merupakan satu suntikan motivasi untuk murid-murid belajar bersungguh-sungguh dan menetapkan sasaran ke menara gading kelak,” kata Amran.
Menurut Pengerusi PIBG SMKDHMNA, Dr. Mohd Norawi Ali pula, program ini adalah untuk membantu murid-murid untuk mengenal pasti kekuatan diri sebagai seorang pelajar dalam memastikan agar mereka menjadi bakal pemimpin pada masa hadapan.
“Saya berharap agar program seperti ini memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang pentingnya menangani isu kesihatan mental dengan bantuan daripada mahasiswa USM selain memberi inspirasi kepada mereka untuk melanjutkan pengajian di USM suatu hari nanti,” kata Mohd Norawi, yang juga pensyarah dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.
Pesan beliau kepada murid-murid SMKDHMNA lagi, orang yang berjaya adalah orang yang sanggup mempunyai ‘resilience’ dan kunci kejayaan ialah ‘perseverance’ kerana kita mahu pelajar kita sentiasa cekal dalam mengharungi segala cabaran.
Pengarah projek program, Mukhidan Mukmim Mukhlishien dalam ucapan aluannya berkata, program ini merupakan susulan kepada program ‘Mental Health Talk’ yang pernah mereka laksanakan, yang mana ‘talk’ tersebut memperincikan bagaimana kesihatan mental bagi para siswa ataupun belia terganggu akibat bebanan dari segi pelajaran, sosial, keluarga dan cara mengatasi stres yang tidak efektif.
“Kami sedar bahawa hal-hal ini bukan sahaja mengganggu mahasiswa bahkan perkara ini turut berlaku kepada murid-murid yang berada di sekolah menengah, yang mana tempoh masa ini adalah penting bagi mereka untuk mencorakkan perjalanan masa hadapan mereka.
“Oleh itu, kami mengambil inisiatif ini untuk mengesan sebab ataupun akar di sebalik masalah ini dan kami sedar bahawa setiap individu pasti mempunyai masalah yang berbeza. Justeru itu, kami cuba bawakan kepada murid-murid jalan yang mungkin dapat mengeluarkan mereka daripada kemelut ini,” tambah Mukhidan.
Turut diselitkan dalam program adalah lawatan tapak ke Bilik Terapi yang dihias oleh mahasiswa USM yang terlibat dan dirasmikan oleh Azlinda di Bilik Kaunseling SMKDHMNA.
Bilik terapi ini diilhamkan untuk menenangkan fikiran murid-murid dengan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif sekaligus melahirkan murid-murid yang mempunyai keyakinan diri serta berfikiran rasional dalam setiap tingkah laku.
Azlinda turut dibawa melawat kawasan ‘Aku Usahawan Berjaya’ iaitu sebuah Projek STEM-Cili Fertigasi hasil kerjasama antara koperasi sekolah SMKDHMNA dan USM yang dipantau oleh Mohd Norawi.
Projek tersebut melibatkan kajian penggunaan baja tanah tertentu yang dapat meningkatkan tuaian cili seterusnya meningkatkan hasil jualan cili, yang menjadi sumber penjanaan kewangan bagi pihak koperasi sekolah SMKDHMNA.
Hadir sama pada program di SMKDHMNA ialah Penggawa Desasiswa Kembara, Siti Hawa Mat Junoh; dan Penolong-penolong Penggawa.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 646