USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SETIAUSAHA POLITIK KANAN YAB PM SAMPAIKAN CERAMAH MALAYSIA NEGARA MADANI: HALA TUJU SEMASA DAN PERANAN UNIVERSITI; NC JAMIN USM BERI SOKONGAN PENUH

340770451 932124477826331 3280206086796665154 n

USM PULAU PINANG, 17 April 2023 – Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri, YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar Bin Mohd Akin pagi ini berada di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi berkongsi buah fikiran mengenai MALAYSIA NEGARA MADANI: HALA TUJU SEMASA DAN PERANAN UNIVERSITI bersama-sama Ketua-ketua Jabatan USM.

Ceramah khas yang masuk siri kedua itu dianjurkan khusus bagi memberi perincian berkenaan Malaysia Negara Madani kepada warga USM, selari dengan usul Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam amanatnya pada awal tahun ini.

341169460 1171592320206905 6448869185740204354 n

Shamsul Iskandar memulakan ceramahnya dengan menerangkan kepada warga USM tentang nilai-nilai utama kepada enam teras akronim MADANI yang mendukung makna keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

“Asas Malaysia Madani adalah idea dan pemikiran yang terdiri daripada enam teras, oleh yang demikian USM wajar mengambil satu teras yang bersesuaian dan menerapkan nilai tersebut bermula di peringkat universiti selain mewujudkan program-program kerja yang dapat menyuarakan pendapat dan idea baru berkenaan Malaysia Madani kepada kerajaan,” katanya.

340774811 685715826655251 5994814477052371578 n

Shamsul Iskandar kemudiannya turut menambah bahawa USM selaku institusi pengajian tinggi yang terkemuka di Malaysia perlu bergerak selari dan sama-sama menyemarakkan nilai-nilai Malaysia Madani seperti menjamin keadilan sosial dan reformasi institusi.

Turut hadir ke program ceramah tersebut adalah Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman; Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Jasni Sulong; serta ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, pegawai-pegawai Utama Universiti dan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar USM.

341624866 596858832475489 8970729048708698734 n

Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, USM menyahut seruan dan gagasan ini sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi yang berstatus APEX di negara ini untuk menyemarakkan lagi slogan membangun Negara Madani dengan penuh komitmen.

“USM telah mengambil inisiatif menganjurkan Siri Seminar Madani kepada golongan sasaran khususnya ketua-ketua jabatan, dengan memanggil dekan/pengarah PTJ di keempat-empat kampus bagi mendapat pendedahan sebenar mengenai konsep Malaysia Madani agar mereka dapat sampaikan kepada staf dan pelajar di bawah pusat pengajian dan pusat kecemerlangan masing-masing.

“Kerajaan juga tidak seharusnya bersendirian dalam melaksanakan dasar dan polisi semasa, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan tinggi, sebaliknya boleh melibatsamakan pihak universiti untuk menjayakannya,” katanya.

341863452 913073439957273 3067578883493011788 n

Seterusnya, Abdul Rahman memaklumkan bahawa Universiti telah meluluskan geran jangka pendek untuk penyelidikan awal mengenai Negara Madani.

“Pihak Universiti juga mensasarkan penerbitan buku mengenai Negara Madani, yang menghimpunkan 40 cendekiawan dalam kalangan warga USM untuk menulis berkisar mengenai falsafah, pembangunan dan peranan USM sebagai Universiti APEX dan universiti kelestarian untuk sama-sama menggagasi slogan membangun Negara Madani ini,” tambahnya.

340905174 950031239782591 3766437429369315476 n

Program ceramah berkenaan yang dihadiri oleh lebih 100 peserta diakhiri dengan sesi soal jawab oleh para cendekiawan USM di samping pandangan-pandangan yang bernas berkenaan Malaysia Madani untuk dikongsikan secara bersama.

Siri ceramah Madani yang pertama telah diadakan pada 27 Februari 2023 dengan menjemput Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim Bin Wan Mohd. Noor untuk menyampaikan tajuk NEGARA MADANI: PERSPEKTIF ISLAM KE ARAH NEGARA YANG BAIK (BALDATUN TOYYIBAH).

341893115 1283404482593630 4010503617371742005 n

Pada sesi tersebut, para peserta telah didedahkan mengenai asas fundamental dan falsafah kemunculan slogan Negara Madani ini daripada konteks falsafah, ketamadunan dan keagamaan.

Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (pelajar intern MPRC)/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 827

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024