USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PAUSM SANTUNI KOMUNITI GELANDANGAN DAN ASNAF

IMG 2266

PULAU PINANG, 15 April 2023 - Sempena Ramadhan yang mulia dan penuh barakah, Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (PAUSM) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Santuni Komuniti Gelandangan Pulau Pinang.

PAUSM mengambil inisiatif melalui pengedaran 100 bungkusan makanan termasuk kuih raya untuk diagihkan kepada gelandangan dan asnaf sekitar bandar Georgetown.

Menurut Wakil Ahli Jawatankuasa Eksekutif PAUSM, Pak Din, pengagihan bermula di sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) yang merupakan salah satu lokasi tumpuan utama gelandangan.

“PAUSM turut melibatkan kumpulan sukarelawan pelajar terdiri daripada Biro Kebajikan dan Kesejahteraan, Majlis Penghuni Desasiswa RESTU (MPDR) Universiti Sains Malaysia (USM). Menerusi program ini diharapkan ia dapat melatih serta memberi pendedahan kepada pelajar supaya masa lapang mereka dapat diisi dengan melakukan kerja amal bermanfaat sebegini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, program sebegini juga dapat memupuk sikap terpuji seperti cakna terhadap masyarakat yang memerlukan, penyayang, semangat kerjasama, bersatu padu, serta berupaya melahirkan masyarakat yang bersikap empati.

“Program ini juga seiring dan berlandaskan nilai-nilai utama Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX),” katanya.

Sementara itu, wakil pelajar, Dalyla Fitria dan Luly Nabila pula, mereka bukan sahaja memperolehi pengalaman belajar proses dalam menjalankan aktiviti sukarelawan malah mereka turut dapat menimba pengalaman berinteraksi dengan pelbagai latar masyarakat dari golongan terkebawah ini.

Bagi, Lim Xiao Wei yang mewakili MPDR pula berkata, beliau bersama rakan-rakan yang lain turut berpeluang belajar adab dan cara menyantuni gelandangan ketika proses pengagihan makanan kepada komuniti tersebut.

Presiden PAUSM, Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang telah memberikan komitmen serta sumbangan ikhlas bagi menjayakan program ini.

Di samping itu, beliau turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada seramai 10 orang sukarelawan pelajar MPDR bersama-sama pihak Jawatankuasa PAUSM yang telah memberikan sepenuh komitmen bermula daripads sesi membungkus makanan sehingga ke proses agihan demi untuk merealisasikan program khidmat masyarakat ini.

Teks : Mu’azzah Ismail
Foto : Pak Din & MPDR
Suntingan : Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 410

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024