USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INISIATIF MPDAD BANTU PELAJAR ASAH KEMAHIRAN BERNIAGA

USM PULAU PINANG, 10 April 2023 – Keusahawanan merupakan salah satu komponen penting dalam pelaksanaan Agenda HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) dalam kalangan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM).

Program-program keusahawanan semakin banyak mendapat sambutan dalam kalangan pelajar dan kini, pelajar sudah tidak asing lagi untuk melibatkan diri dengan program dan aktiviti yang berkonsepkan keusahawanan.

May be an image of 7 people

Yang terkini, Majlis Penghuni Desasiswa Aman Damai (MPDAD) dengan kerjasama Pusat Pembangunan HEBAT (HDC) USM hari ini telah mengadakan Majlis Perasmian Program Step@AD Lambak 2.0 Sidang Akademik 2022/2023 bertempat di Padang Aman, Desasiswa Aman Damai USM.

May be an image of 6 people and dais

Step@AD Lambak 2.0 merupakan program keusahawanan pelajar berkonsepkan Kiosk Bazar Hipster yang bertujuan untuk memberi peluang dan galakan kepada pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan; mengasah kemahiran dan minda keusahawanan serta membantu pelajar untuk menjana pendapatan sendiri melalui program ini.

Turut disajikan dalam majlis yang sama ialah Program Misi Solidariti 3.0 iaitu sebuah program kemanusiaan inisiatif MPDAD dalam menjaga kebajikan penghuni Desasiswa Aman Damai yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan dan Kelestarian MPDAD.

Hadir bagi merasmikan kedua-dua program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman.

May be an image of 8 people

Azlinda dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau yakin Program STEP@AD Lambak 2.0 mampu melahirkan usahawan-usahawan muda yang berjaya dalam kalangan pelajar dengan membina strategi perniagaan selari dengan kehendak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Dasar Keusahawanan Nasional (DKN).

“Menjadi harapan saya agar program STEP@AD Lambak 2.0 ini dengan pelbagai aktiviti perniagaan dan pengisian menarik termasuk kolaborasi dengan Program Misi Solidariti yang dijalankan bersama, mampu memberi impak yang besar dalam menaikkan semangat para pelajar untuk terus menambahkan pengalaman dalam bidang keusahawanan dan kesukarelawanan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek STEP@AD Lambak 2.0, Fariz Haikal Shamsul berkata, harapannya adalah agar projek ini terus memberikan peluang kepada mahasiswa/i untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan untuk terus mengasah kemahiran dan bakat yang sedia ada bagi tempoh jangka panjang.

May be an image of crowd

“Diharapkan agar projek rintis ini dapat diteruskan lagi sebagai ‘benchmark’ kepada Desasiswa Aman Damai hasil kolaborasi yang berterusan bersama pihak HDC yang memberikan sokongan penuh untuk menjayakan projek ini,” kata Fariz Haikal.

May be an image of 5 people

Menurut Pengarah Projek Misi Solidariti 3.0, Ahmad Zahirul Nazran Zakaria, Misi Solidariti kali ini telah berjaya melakukan pengagihan makanan sebanyak 3 kali sepanjang bulan Ramadan, yang mana sebanyak 250 pek makanan berbungkus telah diagihkan kepada pelajar-pelajar USM dengan mendapat sambutan dan sokongan daripada syarikat makanan dan minuman seperti McDonalds, Farm Fresh dan syarikat Abdul Ghaffar Trading Sdn. Bhd. atau lebih dikenali dengan nama Saudagar Kurma dan Berkat Sahara.

May be an image of 8 people

“Kami juga telah berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM893.10 dalam misi ini dan dengan slogan utama bagi menggambarkan prinsip solidariti yang diterapkan dalam projek ini iaitu “We Rise by Lifting Others”, harapan saya agar program yang dirancang ini dapat memberikan manfaat kepada orang ramai khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.

Azlinda bersama kenamaan yang lain kemudiannya dibawa untuk melawat tapak jualan AD Lambak yang mana pelbagai pilihan juadah makanan dan minuman disediakan dengan konsep gerai yang berbeza-beza mengikut kreativiti setiap para peniaga.

May be an image of 4 people

Hadir sama pada majlis perasmian ialah Penolong Pendaftar Kanan, Sektor Inovasi dan Keusahawanan Pelajar, Puteri Salamah Abdul Aziz mewakili Pengarah HDC; Pengerusi Majlis Penggawa merangkap Pengarah Talent Development Centre (TDC), Zulkifli Che Hussin; Penasihat Projek STEP@AD Lambak 2.0 merangkap Penolong Penggawa Aman Damai, Nurul Izzati Rozali; serta penggawa dan penolong penggawa Desasiswa Aman Damai.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 586

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024