KPT, SC METERAI MoU BANGUNKAN PROGRAM GRADUAN PASARAN MODAL
KUALA LUMPUR, 10 April 2023 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk membangun bersama Program Graduan Pasaran Modal atau Capital Market Graduate Programme (CMGP).
Menurut kenyataan media bersama oleh KPT dan SC, CMGP bertujuan meningkatkan ilmu dan kebolehpasaran seramai 9,000 graduan universiti awam dan swasta, terutamanya bagi industri pasaran modal dalam tempoh tiga tahun ini (2023 – 2025).
lanya dibiayai melalui peruntukan sebanyak RM30 juta oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF), iaitu sebuah dana yang diurus oleh industri pasaran modal sendiri.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengerusi SC, YBhg. Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang turut menjalankan tugas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi iaitu Ahmad Rizal Adnan serta disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Naib-naib Canselor/Rektor Universiti Awam termasuk Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, beserta Ketua-Ketua Eksekutif dan Pengarah-Pengarah Korporat Badan Berkanun dan Industri.
Program yang dijangka mampu menampung kekurangan tenaga kerja mahir di industri pasaran modal ini akan dapat membantu menghasilkan graduan yang lebih bersedia untuk diterap ke dalam pasaran modal tersebut.
Ini sekaligus akan mengurangkan defisit tenaga mahir di pasaran modal, seterusnya mempertingkatkan kebolehpasaran graduan.
Menurut Khaled, pihak kementeriannya mengalu-alukan usaha sebegini kerana ia merupakan keperluan yang sangat penting dalam menangani cabaran kebolehpasaran graduan.
“Kebolehpasaran graduan sememangnya menjadi isu dan cabaran kepada kementerian.
“Ini adalah kali pertama KPT bekerjasama dengan SC untuk memastikan tenaga kerja, bakat dan modal insan kita berada pada tahap yang baik dan mencukupi untuk sektor (pasaran modal),” katanya pada sidang media selepas majlis penandatanganan MoU tersebut.
CMGP yang dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat, diterajui oleh SC dengan kerjasama KPT, Kementerian Kewangan Malaysia, Bursa Malaysia dan wakil-wakil kanan industri pasaran modal.
Sementara itu, Awang Adek berharap kerjasama strategik awal yang dijalin antara SC dan KPT dapat membantu mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja mahir merentas industri terutamanya dalam pasaran modal di negara pada ketika ini.
“Nampaknya, terdapat ramai graduan yang ingin mendapatkan pekerjaan, tetapi pada masa yang sama terdapat kekurangan tenaga mahir di pasaran — seolah-olah berlaku ‘ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan’.
Beliau percaya CMGP akan menjadi “matchmaker” yang baik antara graduan dan pasaran modal.
Katanya lagi, “Sebagai bekas pensyarah universiti dalam bidang ekonomi, dan sekarang ini memegang jawatan Pengerusi Lembaga Gabenor USM, saya merasakan bahawa pengetahuan mengenai pasaran modal adalah begitu terhad dalam kalangan pelajar dan juga pensyarah.
“Oleh itu, untuk menimbulkan minat dan kesedaran mengenai pasaran modal di kalangan mahasiswa universiti, pihak SC merasakan perlu diwujudkan satu program yang tersusun, terancang dan konsisten untuk beberapa tahun, bagi membolehkan graduan mendapat pekerjaan dalam pasaran modal.”
Antara skop kerjasama yang digariskan dalam MoU tersebut adalah:
- Meningkatkan kesedaran terhadap peluang kerjaya pelbagai disiplin berkenaan industri pasaran modal dalam kalangan graduan di Malaysia;
- Membina kapasiti asas dalam kalangan graduan dalam bidang yang berkaitan dengan pasaran modal di Malaysia;
- Mempromosikan CMGP melalui penganjuran ceramah dan pameran kerjaya bagi membangunkan saluran bakat graduan yang konsisten bagi pasaran modal di Malaysia;
- Bekerjasama dengan wakil-wakil kanan Bursa Malaysia dan industri pasaran modal, serta Naib Canselor daripada universiti tempatan utama dengan penuh komitmen dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti teras dan utama CMGP; dan
- Mengenal pasti graduan yang berkelayakan untuk mengambil bahagian dalam program berstruktur yang dikelolakan Oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC) dan Program Pembangunan Kepimpinan dan Penempatan Kerja CMGP.
Sumber asal: Kenyataan media bersama KPT & SC/Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 504