FESTIVAL MUSABAQAH AL-QURAN 2023 CAPAI SASARAN, ANTARA PROGRAM KEROHANIAN BERIMPAK USM
USM PULAU PINANG, 9 April 2023 - Sekalung penghargaan buat Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menjayakan program berimpak sebegini dalam menyokong pembangunan kerohanian di negeri Pulau Pinang.
Demikian ujar Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman di Majlis Iftar Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang bersama Gerakan Koperasi Pulau Pinang dan Majlis Penutup Program sempena Festival Musabaqah Al-Quran 2023 (FMQ23’) hari ini di Masjid Al-Malik Khalid, USM.
“Program sebegini boleh dijadikan Instrumen pembangunan ekonomi ummah di negeri Pulau Pinang di samping menyemai nilai cintakan Al-Quran serta kesenian Islam yang agung ini,” katanya ketika merasmikan penutupan FMQ23’.
Ahmad Zakiyuddin turut berbangga kerana program sebegini dianjurkan pelaksanaannya oleh pelajar USM sendiri dan beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pemenang FMQ23’.
Beliau turut menyampaikan Dana Sumbangan Anak Yatim dan Golongan Asnaf Pelajar USM. 51 anak yatim hadir menerima dana sumbangan ini.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula berkata, program FMQ23’ kali ini sangat menarik kerana menerima penyertaan daripada Institusi Pendidikan Tinggi lain iaitu UMK, UTEM, USIM di samping peserta dari semua desasiswa utama USM.
“Sebagai Naib Canselor USM, saya menyokong program seperti ini yang mendorong kreativiti dan bakat pelajar USM kerana ramai pelajar mempamerkan bakat yang terpendam dengan menyertai 4 kategori yang dipertandingkan selain mengasah kebolehan berkomunikasi dan memberi impak yang baik buat semua,” katanya.
Abdul Rahman mewakili USM turut berterima kasih kepada Ahmad Zakiyuddin kerana memberi sumbangan untuk program pada hari ini. Turut berlangsung ialah Bacaan Ayat Suci Al-Quran oleh Johan Tilawah Al-Quran FMQ23’.
Simbolik pelancaran Kiosk Zakat Pulau Pinang USM turut diadakan pada hari ini yang disempurnakan oleh Ahmad Zakiyuddin, Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Dato’ Amran Hazali.
Turut diselitkan dalam program hari ini adalah penyampaian cek sumbangan bernilai RM9,000.00 oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kepada Tabung Aktiviti Ramadhan USM yang disaksikan oleh Ahmad Zakiyuddin.
FMQ23’ dengan tema Al-Quran Penggerak Fikrah Jauhari berlangsung dari 7-9 April 2023 di Masjid Al-Malik Khalid USM dan terdapat pelbagai acara yang berlangsung iaitu hafazan, tilawah Al-Quran, syarahan dan penulisan khat.
Hadir sama ke majlis ini adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang, Tn. Hj. Rosidi Hussain; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang, Norlelah Samsuddin; Ahli Pengurusan Tertinggi USM; Penggawa-Penggawa Desasiswa USM; dan tetamu undangan lain.
Senarai Johan-johan Kategori FMQ23’:
- Khat (Lelaki) - CGH
- Khat (Wanita) - USIM
- Syarahan Agama (Lelaki) - RESTU
- Syarahan Agama (Wanita) - MURNI NURANI
- Hafazan Al-Quran (Lelaki) - TEKUN
- Hafazan Al-Quran (Wanita) - SAUJANA
- Tilawah Al-Quran (Lelaki) - MURNI NURANI
- Tilawah Al-Quran (Wanita) - MURNI NURANI
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1066