SINGGAH SAHUR SANTUNI SISWA - NC AGIH JUADAH SUMBANGAN AHLI LGU BAHARU
USM PULAU PINANG, 9 April 2023 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed kelmarin bersama-sama aktivis Sukarelawan Siswa USM telah mengadakan sesi menyampaikan makanan untuk sahur kepada pelajar dalam program Singgah Sahur Santuni Siswa.
Bertempat di Kafeteria Desasiswa Tekun, makanan yang diserahkan tersebut merupakan sumbangan oleh Ahli Lembaga Gabenor USM yang baharu, YBhg. Dato' Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin yang dilantik bermula 6 Mac yang lalu.
Menurut Rahman, ini merupakan satu usaha yang baik dalam bulan mulia ini dan beliau berterima kasih kepada Dato' Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin atas sumbangan yang diberikan ini buat warga USM.
Turut hadir ke sesi ini adalah Penggawa Desasiwa Tekun, Mohd Rashid Abdul Rejab; Penggawa PETAS, Zamzami Rasidi; dan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Afirul Idris Ayob Khan.
Turut tidak ketinggalan Afirul dan barisan MPPnya juga menyumbangkan makanan sempena program ‘Moreh Time with MPP’ bersekali dengan program Singgah Sahur Santuni Siswa ini.
Lebih daripada 200 pek makanan dan pelbagai kuih muih telah berjaya disediakan untuk program ini.
Rata-rata pelajar yang menerima pek ini melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang masih menjaga kebajikan mereka dalam bulan Ramadhan kali ini.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 679