LEBIH 500 TERMASUK NC USM HADIR MAJLIS KHATAM AL-QURAN SEMPENA FMQ23’
USM PULAU PINANG, 8 April 2023 – Khatam Al-Quran merupakan salah satu agenda penting dalam memartabatkan kitab suci ini sebagai panduan utama umat islam dalam segenap aspek kehidupan.
Demikian ujar Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed ketika hadir memberi ucapan di Program Khatam Al-Quran sempena Festival Musabaqah Al-Quran 2023 (FMQ23') di Masjid Al-Malik Khalid USM.
Jelas Abdul Rahman, melalui amalan membaca, menghayati dan mengamalkan isi kandungan kalam Allah SWT ini, ia berupaya menjadi inspirasi dan pemangkin semangat umat Islam dalam mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat, lebih-lebih lagi hari ini adalah hari Nuzul Al-Quran.
“Program sebegini merupakan satu kesinambungan dalam menjadikan amalan membaca Al-Quran sebagai budaya untuk dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian,” katanya.
Tambahnya, Al-Quran bukan sahaja untuk dibaca dalam bulan Ramadhan ataupun semasa majlis khatam, tapi sebaiknya diamalkan setiap hari dan ketika kerana antara kelebihan membaca Al-Quran adalah ianya akan menjadi syafaat di akhirat kelak buat kita semua.
“Adalah bersesuaian bagi kita untuk menerapkan nilai-nilai berharga yang terdapat dalam Al-Quran dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kerana terdapat kisah teladan, peringatan, sejarah, sains dan pengajaran di dalamnya,” tegasnya lagi.
Abdul Rahman juga berharap agar warga USM sentiasa mengutamakan Al-Quran melalui pembacaan, penghayatan, serta pengamalan intipati yang terdapat di dalamnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Majlis Penggawa USM kerana dapat mengumpulkan lebih 500 peserta untuk program khatam Al-Quran pada petang ini yang merupakan salah satu pengisian dalam Festival Musabaqah Al-Quran 2023.
Terdahulu, Abdul Rahman bersama-sama peserta membaca Al-Quran yang turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Penggawa Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan merangkap Pengerusi Majlis Penggawa USM, Zulkifli Che Hussin; dan barisan pegawai-pegawai desasiswa dan pelajar serta peserta FMQ23’.
Abdul Rahman turut berbuka puasa bersama-sama barisan penganjur, peserta dan warga USM di Masjid Al-Malik Khalid USM.
FMQ23’ dengan tema Al-Quran Penggerak Fikrah Jauhari berlangsung daripada 7-9 April 2023 di Masjid Al-Malik Khalid USM dan terdapat pelbagai acara yang berlangsung iaitu hafazan, tilawah Al-Quran, syarahan dan penulisan khat.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 633