TDC BHEPA BERSAMA JPNIN PULAU PINANG RANCANG ANJUR PROGRAM PERPADUAN DI USM
USM PULAU PINANG, 8 April 2023 - Pusat Pembangunan Bakat (TDC) Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Universiti Sains Malaysia (USM) kelmarin telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pertemuan bersama Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) Pulau Pinang.
Dalam pertemuan singkat itu, kedua-dua pihak telah membincangkan mengenai potensi mengadakan program-program perpaduan khususnya yang memberi manfaat kepada para pelajar yang berbilang kaum di USM.
TDC diwakili oleh Pengarahnya Zulkifli Che Hussin, manakala rombongan JPNIN Pulau Pinang diwakili oleh Penolong Pengarah Operasi, Rosafiza Zakaria dan beberapa pegawai kanan yang lain.
Kedua belah pihak telah mencapai kata sepakat dan bersetuju untuk memberi kerjasama dalam program Semarak Perpaduan Negara, yang mana para pelajar akan dilibatkan dalam acara 'Rumah Kami', Explorace, Unduk Ngadau & Perkampungan Budaya. Program ini dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara pada 26-28 Mei 2023 di Bertam, Pulau Pinang.
Menurut Zulkifli, kerjasama strategik ini akan memberi pendedahan dan impak ketara kepada keperibadian dan sahsiah diri pelajar menerusi penerapan nilai-nilai kemanusiaan dan keharmonian, kasih sayang, hormat-menghormati serta menghargai kepelbagaian dan kemakmuran negara melalui program yang dianjurkan.
Turut hadir adalah wakil YDP Persatuan Sekretariat Rukun Negara (SRN), Kumpulan Kesenian Adikarma, Pertubuhan Siswa-Siswi Sabah (PERSIS), Perkumpulan Anak-Anak Sarawak dan Sekretariat Kebudayaan & Kesenian Tionghua (SKKT).
Teks: Noraza Abd Aziz
Foto: MuhammadFikri
Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 564