USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NC USM - HAYATI AL-QURAN UNTUK PACU KECEMERLANGAN

9C6A56E0 C5AF 42C2 BA72 93C11C54C09B

USM PULAU PINANG, 7 April 2023 – Al-Quran sebagai kitab suci yang menjadi pedoman dan petunjuk kepada umat manusia diturunkan pada bulan Ramadhan dengan manfaat yang sangat besar kepada umat manusia.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, Al-Quran adalah rahmat yang amat besar yang diturunkan Allah s.w.t perlu menjadi pedoman kepada ummah dengan nilai-nilai hidup untuk memacu kecemerlangan ummah.

Al-Quran menyediakan panduan lengkap berteraskan tauhid sebagai sumber untuk melakukan perubahan dengan melaksanakan setiap ketetapan Allah s.w.t dan syariat-Nya dengan penuh integriti dan lestari berlandaskan penguasaan ilmu pengetahuan.

"Kita mesti menjadikan Al-Quran sebagai sumber rujukan untuk membina kekuatan luar biasa seperti mana yang dilakukan oleh tokoh-tokoh hebat zaman kegemilangan Andalusia yang melahirkan tamadun hebat dunia.

"Dengan berpegang teguh kepada kitab suci tersebut mereka meneroka pelbagai disiplin ilmu yang diwarisi hingga kini dan ini mesti diteliti dan dipelajari untuk memacu kecemerlangan dan kekuatan yang ada," jelas Abdul Rahman.

Tambah Naib Canselor, Al-Quran juga mendidik kita untuk prihatin dan bersikap ihsan dengan orang lain serta tanggungjawab mereka yang berilmu ialah memanfaatkan kepakaran untuk membantu kumpulan yang terkebawah ini meningkatkan taraf hidup mereka.

"Ini adalah amanah yang kita pegang dan Al-Quran mendidik kita tentang pentingnya nilai-nilai amanah dan membantu orang lain, malah juga melestarikan alam ciptaan Tuhan," tegas Abdul Rahman.

Beliau mengucapkan Salam Nuzul Al-Quran kepada seluruh warga USM dan juga semua masyarakat serta pemegang taruh sempena sambutan kali ini.

Tambah beliau, adalah menjadi kewajipan seluruh umat Islam untuk mendidik anak-anak mereka dengan melaksanakan tiga perkara iaitu mendidik anak-anak mencintai dan kasihkan Rasulullah s.a.w, mendidik anak-anak untuk mengenal para sahabat Rasulullah s.a.w dan yang ketiga ialah dengan membaca dan memahami Al-Quran.

Salam Nuzul Al-Quran 1444H!

Teks: Hafiz Meah Ghoush Meah/Suntingan: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 436

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024