USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MPPUSM SAMBUT SERUAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI MEMPERKASA MAHASISWA

2350D01E 7528 462A 9B11 17360CEFF763

USM PULAU PINANG, 5 April 2023 – Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) menyambut baik saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memperkasa mahasiswa di universiti.

Hal ini telah dibawa sebagai usul dalam Dewan Perundingan Pelajar (DPP) sebagai Parlimen Mahasiswa USM yang bersidang baru-baru ini.

Yang Dipertua MPPUSM yang menjadi ahli DPP, Afirul Idris Bin Ayub Khan, ketika membahaskan usul berkaitan pemerkasaan mahasiswa berkata, fokus ke-11 dalam amanat Menteri Pendidikan Tinggi Tahun 2023 itu perlu diterjemahkan dengan tindakan yang bersesuaian di peringkat kampus.

“Secara asasnya, pemerkasaan mahasiswa mesti dilihat dalam konteks yang lebih besar iaitu dengan memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan kepada mahasiswa, sesuai dengan hasrat memberikan lebih lagi kebebasan kepada gerakan pelajar atau student union,” kata Afirul Idris.

Afirul Idris yang juga Presiden Gabungan Mahasiswa Anak Johor Kebangsaan (GAJ) telah membawa dua usul yang berkait rapat ke arah pemerkasaan mahasiswa secara sepenuhnya.

Perkara pertama yang dibahaskan adalah berkenaan pindaan peruntukan dalam tatacara pemilihan majlis perwakilan pelajar yang mewajibkan mahasiswa USM untuk bertanding di bawah kapasiti individu dan menghalang mahasiswa mereka bertanding secara berkumpulan.

722DCDFD 7FB4 4374 8A7A 1AA68E3B8361

Menurut Afirul Idris, peruntukan dalam tatacara pemilihan MPP ini jelas bertentangan dengan agenda pemerkasaan mahasiswa yang menghalang mereka berpolitik dalam kampus ketika Pilihan Raya Kampus (PRK).

Usul dibahaskan dengan terbuka oleh ahli-ahli DPP membuka mata seluruh ahli dewan yang akhirnya telah bersetuju secara majoriti bagi meluluskan tanpa pindaan.

Afirul Idris turut membawa usul tuntutan penubuhan segera Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP). Usul ini diterima dan dipersetujui oleh ahli dewan yang meluluskan untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa Universiti.

Sebanyak 22 usul telah dibawa dan dibincang oleh ahli-ahli DPP kali ini yang melibatkan pelbagai isu universiti dan nasional.

DPP yang merupakan satu daripada usaha pemerkasaan mahasiswa yang membolehkan mahasiswa USM membawa sendiri usul dan membincangkan dengan matang dan terbuka berdasarkan fakta dan data terutamanya yang berkaitan hal-hal kebajikan mahasiswa.

DPP dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (HEPA) USM, Profesor Dr. Azlinda Azman. Yang turut hadir ialah Timbalan Pendaftar BHEPA, Jelfariny Mohd Jelahni dan Pengarah Pusat Pembangunan HEBAT USM, Hazlan Abdul Hamid.

Teks asal: MPPUSM/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi

  • Created on .
  • Hits: 648

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024