KPT-PTPTN, TABUNG HAJI PRIHATIN SANTUNI PELAJAR ASNAF USM; PUSAT ISLAM TURUT BANTU PELAJAR OKU USM
USM PULAU PINANG, 3 April 2023 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menzahirkan keprihatinan dengan menyantuni pelajar asnaf Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin.
PTPTN kali ini mengagihkan sumbangan berjumlah RM231,000 yang akan memanfaatkan 462 mahasiswa USM yang kurang berkemampuan.
Majlis Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada mahasiswa telah diadakan di Masjid Al-Malik Khalid USM sempena Majlis Iftar USM yang dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bersama warga kampus di sini semalam.
Di majlis tersebut, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid telah menyampaikan replika cek yang bernilai RM231,000 kepada YB Menteri untuk diserahkan kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sebagai simbolik penyerahan sumbangan kepada para pelajar asnaf USM.
PTPTN dalam kenyataan berkata, pelaksanaan program terbabit adalah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan USM, yang mana bantuan kewangan sebanyak RM500 secara ‘one off’ akan disalurkan ke dalam akaun bank setiap mahasiswa yang layak menerimanya.
Pada majlis yang sama, YB Menteri turut menyampaikan replika cek zakat yang bernilai RM175,000 kepada pelajar asnaf USM sumbangan Tabung Haji dan menyampaikan replika kunci e-bike kepada tiga orang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) sumbangan Pusat Islam USM.
Salah seorang penerima e-bike iaitu Nor Elisha Binti Mohd Zaini, pelajar tahun tiga dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan ketika ditemuramah, mengakui bahawa hadiah e-bike yang diberikan amat membantu dirinya dalam memastikan perjalanan ke kuliah berjalan lancar.
“Saya sebenarnya tidak mampu untuk berjalan jauh kerana kaki saya mudah melecet, jadinya saya tidak perlu lagi menunggu bas untuk pergi kuliah kerana saya boleh pergi dengan e-bike tersebut sendiri,” kata Nor Elisha yang mengalami kecacatan fizikal (memakai kaki palsu).
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin dalam ucapan aluannya berkata, seluruh warga USM amat mengalu-alukan kehadiran YB Menteri dan merakamkan tanda penghargaan dengan ucapan terima kasih di atas kesudian beliau melapangkan masa dalam rangka lawatan kerja beliau ke USM selama 2 hari.
“Saya bersyukur kerana USM meneruskan tradisinya yang prihatin kepada semua golongan masyarakat bukan sahaja untuk manfaat warga kampus malah komuniti di luar sana juga,” tambahnya.
Kehadiran YB Menteri di Majlis Iftar USM disambut oleh barisan pengurusan tertinggi USM yang diketuai Pengerusi LGU; Naib Canselor USM bersama Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; Pendaftar USM; Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman; dan pegawai-pegawai utama universiti.
Turut hadir dari KPT ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dato' Dr. Norzaini Azman; dan pegawai-pegawai kanan KPT.
Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman; dan Pengarah Tabung Haji Negeri Pulau Pinang, Maznizan Mamat juga hadir di majlis tersebut.
Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 512