USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI UNISMA, INDONESIA

May be an image of 9 people and people standing

USM PULAU PINANG, 4 April 2023 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hari ini telah menerima kunjungan hormat dari delegasi Universitas Islam Malang (UNISMA), Indonesia yang diketuai Rektornya, Profesor Dr. Masykuri Bakri di Bilik Persidangan Canselori (CCR) di sini.

Kunjungan hormat ini bertujuan untuk membincangkan jalinan dan kerjasama antara kedua-dua universiti yang melibatkan beberapa aspek seperti pertukaran pelajar dan staf, penyelidikan dan pembangunan, program akademik dan lain-lain lagi.

Pada pertemuan kedua-dua pimpinan tertinggi universiti ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalinkan hubungan akademik dan kerjasama lain yang akan dikenal pasti dan dipersetujui bersama dari semasa ke semasa seperti program ‘double degree’ untuk pelajar pertukaran di antara USM dan UNISMA.

May be an image of 2 people, people standing and indoor

Abdul Rahman turut menerangkan tentang kekuatan USM yang menumpukan kepada kelestarian dan berada di tangga keempat dunia di dalam Times Higher Education Impact Rankings 2022 selain mempunyai hubungan yang erat bersama industri untuk menjalankan projek dan penyelidikan yang berkaitan.

May be an image of 3 people and people standing

Sementara itu, Masykuri Bakri dalam perbincangan itu berharap agar peluang kerjasama bersama USM akan dapat dilaksanakan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat ini agar kedua-dua belah pihak dapat memulakan kolaborasi dengan sebaiknya.

May be an image of 2 people and people standing

Yang turut hadir adalah Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob dan Timbalan Pendaftar PPPJJ, Mohd Rashid Abdul Rejab.

Manakala, bagi pihak Universiti Of Islam Malang (UNISMA), yang hadir bersama adalah Wakil Rektor Bidang Akademik dan Kerjasama, Profesor Junaidi Mistar, Ph.D; Wakil Rektor Bidang Administrasi Umum Personal dan Kewangan, Profesor Madya Noor Shodiq Askandar, S.E., MM; Pengarah Program Pascasarjana; Profesor H. M. Mas’ud Said, MM., Ph.D dan pegawai-pegawai utama UNISMA yang lain.

May be an image of 7 people, people standing and indoor

Teks: Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman (pelajar intern MPRC)/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 590

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024