MENTERI PENDIDIKAN TINGGI ADAKAN LAWATAN KERJA KE USM
USM PULAU PINANG, 3 April 2023 – Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini hadir ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan mengikuti taklimat dan pembentangan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkaitan perkembangan terkini USM.
Sesi berkenaan diadakan khas bersempena lawatan kerja beliau ke USM yang disambut baik oleh barisan pengurusan tertinggi USM diketuai Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; bersama Naib Canselor dan Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; Pendaftar serta pegawai-pegawai utama universiti di Bangunan Canselori, di sini.
Dalam sesi tersebut, Abdul Rahman membentangkan perihal profil universiti, prestasi dan pencapaian keseluruhan USM serta perkembangan terkini USM yang berjaya menarik perhatian delegasi KPT khususnya Mohamed Khaled.
Naratif daripada pembentangan Abdul Rahman adalah untuk memberi perincian kepada pihak KPT berkenaan usaha USM memanfaatkan ilmu hasil penyelidikan, membangunkan komuniti dan menjalin kerjasama akrab dengan industri dan pelbagai agensi dalam usaha USM untuk memacu kecemerlangan.
“Berdasarkan pembentangan tersebut, saya mengalu-alukan beberapa perkara dan salah satunya adalah untuk melihat semula agenda APEX yang mana persaingannya adalah sengit dan USM dipilih kerana pihak KPT yakin dan terima usaha dan fokus yang dijanjikan USM dalam soal menjadi universiti APEX,” kata Mohamed Khaled.
Tambah beliau, setelah 15 tahun menjadi sebuah universiti APEX, beliau percaya universiti mempunyai kekuatan dalaman tersendiri untuk terus menjayakan agenda APEX yang masih menjadi perkara utama.
Mohamed Khaled turut mencadangkan agar universiti memperkukuhkan hubungan bersama pihak industri untuk tujuan penyelidikan dan melihat semula perkara yang boleh USM tawarkan untuk membantu meningkatkan ekonomi negara.
Turut diselitkan dalam sesi taklimat adalah penyampaian Memorandum Jemaah Menteri untuk Cadangan Memperkasakan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) sebagai sebuah Hospital Penyelidikan dan Pakar Universiti (HPPU) dalam bidang Tujahan (Niche Area) Perawatan Kanser kepada YB Menteri.
YB Menteri bersama delegasi KPT kemudiannya dibawa melawat pameran dan bertemu rakan kongsi industri dan libatsama komuniti USM di Bangunan M11 (11800 Minden).
Terdahulu, Mohamed Khaled turut menzahirkan rasa teruja kerana dapat meluangkan masa berbuka puasa bersama pelajar USM dan dapat berkenalan dengan pengurusan tertinggi USM pada hari sebelumnya.
Delegasi KPT yang mengiringi YB Menteri termasuk Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dato' Dr. Norzaini Azman; serta barisan pegawai utama kementerian.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 829