USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DIMINTA UNTUK MENGETUAI KAJIAN PENILAIAN AMALAN KELESTARIAN

USM PULAU PINANG, 3 April 2023 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta agar Universiti Sains Malaysia (USM) mengetuai satu jawatankuasa khas bagi membuat penilaian terhadap polisi, dasar dan pencapaian institusi dalam pendidikan tinggi yang berkaitan dengan amalan kelestarian.

May be an image of 8 people, people standing and indoor

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai antara Universiti yang terkehadapan dalam hal-hal kelestarian, USM diberikan tanggungjawab untuk memastikan jejak langkahnya dapat diikuti oleh pihak lain.

Katanya, hal ini sesuai dengan kedudukan USM sebagai Universiti yang diberikan status perintis Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang berteraskan kelestarian.

May be an image of 17 people, people sitting, people standing and indoor

“Apatah lagi USM telah diiktiraf menduduki tangga keempat dalam Times Higher Education Impact Rankings 2022 yang meneliti pencapaian USM dalam 17 Sustainable Development Goals (SDGs) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

“Fokus APEX memang untuk menjadi perintis (pioneer), jadi kerana USM perintis, USM perlu memberi panduan dan memastikan universiti-universiti lain juga dapat mencontohi USM dalam soal agenda kelestarian, yang pada kementerian satu agenda yang sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke USM di sini hari ini. Delegasi KPT yang turut hadir dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Dato’ Profesor Dr. Norzaini Azman dan sebagainya.

May be an image of 6 people, people standing and indoor

Hadir sama di pihak USM ialah Pengerusi Lembaga Gabenor, Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan pegawai-pegawai utama Universiti.

Khaled turut berkata, USM juga diminta untuk melihat semula agenda APEX kerana ia sangat penting dan perlu menumpukan kepada empat fokus utama termasuk menjadi universiti perintis dalam hal-hal mencapai kecemerlangan melalui pendidikan tinggi.

WhatsApp Image 2023 04 03 at 13.35.07

Tambah beliau, fokus seterusnya adalah dalam menjalankan penyelidikan secara ‘transboundary’, melahirkan bakat dan memberi perhatian kepada kelangsungan golongan B40 supaya tidak terpinggir.

“Keempat-empat perkara inilah yang menjadi fokus dalam APEX, dan KPT mengalu-alukan usaha USM untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas mengkaji agenda APEX sebab kita memang mahu supaya usaha ini dapat dijayakan,” ujarnya.

Beliau turut mengalu-alukan usaha USM menjadi institusi yang terkelihatan dan bermakna di Pulau Pinang, khususnya usaha memberi keupayaan kepada pelajar dalam pembelajaran mereka dengan kerjasama bersama Northern Corridor Economic Region (NCER).

May be an image of 3 people and people standing

Melalui projek berkenaan, setiap tahun seramai 1,000 orang pelajar diletakkan di bawah pengawasan USM untuk memastikan pelajar-pelajar ini berjaya dalam bidang akademik.

“Peranan Universiti sebagai institusi yang penting dalam masyarakat dan saya harap ini dapat diteruskan. Dalam masa yang sama, USM juga diharap dapat meningkatkan keupayaan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam universiti dan dalam masyarakat dengan kerjasama agensi-agensi yang terdapat di sini,” ujar beliau lanjut.

Teks: Marziana Mohamed Alias & Muhammad Haziq Aqmar Amril Nurman/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 731

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024