USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YB MENTERI PENDIDIKAN TINGGI BERBUKA PUASA BERSAMA WARGA KAMPUS

USM PULAU PINANG, 2 April 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Islam USM petang ini telah mengadakan majlis Iftar bersama Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bersempena dengan lawatan kerjanya ke USM.

A12102EF D6C7 4961 BC02 06C4B1447BBC

Ketibaan beliau disambut oleh barisan pengurusan tertinggi USM yang diketuai oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti (LGU), Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed bersama Timbalan-timbalan Naib Canselor USM; Pendaftar, Dato’ Dr. Musa Ali serta pegawai-pegawai utama universiti.

Bertempat di perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM, Awang Adek dalam ucapan alu-aluannya berkata, seluruh warga USM amat mengalu-alukan kehadiran YB Menteri dan merakamkan tanda penghargaan dengan ucapan terima kasih di atas kesudian beliau melapangkan masa dalam rangka lawatan kerja beliau ke USM.

“USM meneruskan tradisi yang telah bermula sejak tahun 1970-an yang memberi peluang kepada pelajar merentasi kaum dan agama serta sempadan negara untuk bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa di sini sepanjang bulan Ramadan. Dianggarkan hampir 3,000 orang pelajar dan ahli Khariyah Masjid Al-Malik Khalid membanjiri masjid ini setiap hari untuk berbuka puasa.

7B19E93B 90C1 4742 8566 9CF582F46C6A

“Selain itu, penyediaan juadah berbuka puasa saban hari dilakukan secara bergotong royong melibatkan pelajar dan staf yang merentasi perbezaan kaum, agama dan negara,” jelasnya, yang turut menyatakan bahawa tradisi dan aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan Ramadan di USM adalah unik kepada universiti dan perlu terus dipertahankan.

Tambah beliau, “USM menyemai sikap prihatin dan kasih sayang ini sebagai lambang kesatuan ummah, perpaduan tulen yang datang dengan sendiri sebagai sebahagian daripada usaha kelestarian komuniti dan universiti sesuai dengan semangat Universiti APEX.”

“Perpaduan dan semangat muhibbah ini patut dicontohi dan menjadi model negara madani yang mempunyai nilai kemampanan, ihsan dan hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, turut diselitkan penyampaian replika cek Bantuan Pengajian KPT-PTPTN sebanyak RM231,000 untuk membantu pelajar asnaf USM oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid kepada Naib Canselor USM. YB Menteri juga menyampaikan sumbangan kepada 10 orang pelajar USM yang terpilih.

Selain itu, Tabung Haji telah memberikan zakat sebanyak RM175,000 kepada USM yang disampaikan oleh Pengarah Tabung Haji Pulau Pinang, Masnizan Mamat kepada Naib Canselor USM untuk diagihkan kepada para pelajar USM.

Majlis turut menyaksikan keprihatinan universiti terhadap Orang Kelainan Upaya (OKU) USM, melibatkan penyampaian sumbangan motosikal sebanyak 3 unit kepada pelajar-pelajar OKU yang terpilih.

Kesemua penyerahan tersebut disaksikan oleh YB Menteri dan beliau kemudiannya turut dibawa melawat tapak kawasan berbuka sekitar masjid untuk sesi beramah mesra bersama pelajar yang berbuka puasa.

IMG 0351

Hadir sama pada majlis adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan KPT), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Profesor Dato' Dr. Norzaini Azman; Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman; Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman; serta pegawai-pegawai utama KPT, PTPTN dan USM.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa  

  • Created on .
  • Hits: 696

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024