DPP BUKTI USM KOMITED SARANAN KPT DALAM PEMERKASAAN MAHASISWA
USM PULAU PINANG, 1 April 2023 - Sidang Dewan Perundingan Pelajar (DPP) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mengadakan mesyuarat pertamanya bagi sidang akademik 2022/2023 di Dewan Persidangan Universiti.
Hadir merasmikan sidang, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Profesor Dr. Azlinda Azman berkata, USM sangat memegang pada pemerkasaan mahasiswa seperti yang diutarakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi.
“Mesyuarat DPP adalah platform yang memandatkan mahasiswa peluang berbincang hal-hal dasar dunia mahasiswa dan isu lain dengan penuh hemah dan bijaksana.
“Usul-usul yang dibincangkan perlulah bersifat terbuka dan tidak mencemuh dan jangan menjatuhkan satu sama lain. Terus menyokong antara satu sama lain untuk memacu institusi ini ke tahap yang lebih membanggakan,” jelasnya.
Tambah Azlinda, Pemimpin DPP yang dipilih oleh rakan-rakan mahasiswa perlulah menjadi contoh dan suri teladan kepada warga USM kerana setiap yang terpilih adalah unik dan gunalah kelebihan ini dengan berhemah.
“Menjadi pemimpin bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan tanggungjawab yang tulus akauntabiliti serta berintegriti tinggi. Cari penyelesaian bila ada masalah yang timbul dan bukan menjadikannya isu.
“Sentiasa mencari titik persamaan untuk menghubungkan antara satu sama lain melalui platfom ini, sentiasa merendah diri dan jangan sombong di dalam mengendalikan sesuatu permasalahan itu,” ujarnya lagi.
Azlinda turut menzahirkan bahawa BHEPA sentiasa menghargai bakat yang ada dalam kalangan mahasiswa USM bukan sahaja dalam kalangan MPP, malahan di persatuan anak negeri, persatuan-persatuan pelajar, majlis perwakilan desasiswa dan lain-lain dalam menaikkan nama USM.
Sebelum menamatkan ucapan, beliau turut menyatakan bahawa DPP adalah platform terbuka dan ahli perlu membawa usul yang menjaga kebajikan pelajar termasuk golongan B40 dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan berbahas dengan matang. Idea setiap ahli mungkin berbeza, sentiasa meraikan inklusiviti, melihat secara menyeluruh, melihat kebersamaan dan buktikan mahasiswa USM adalah mahasiswa yang HEBAT.
Sementara itu, Azlinda juga memaklumkan bahawa MPP USM diberi mandat oleh KPT untuk menganjurkan program Robocon 2023 dan Debat akhir Piala Perdana Menteri sebagai salah satu hasratnya untuk memberi pemerkasaan mahasiswa dalam penganjuran program-program berimpak tinggi sebegini.
Turut hadir ke perasmian pagi ini adalah Pengarah Pusat Sejahtera, Dr. Normala Abdul Wahid; pegawai-pegawai BHEPA kampus utama USM dan pemerhati daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
DPP USM merupakan cetusan idea Naib Canselor Kelima, Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dzulkifli Abdul Razak dan sidang pertama DPP ini telah dirasmikan oleh Pro-Canselor USM, Tan Sri Razali Ismail pada 23 Oktober 2010.
Teks dan Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 839