USM BAKAL ANJUR FESTIVAL MUSABAQAH AL-QURAN 2023
USM Pulau Pinang, 1 April 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan menganjurkan sebuah program berbentuk festival berprestij sempena dengan bulan mulia bulan Ramadhan kali ini.
Bertajuk “Festival Musabaqah Al-Quran” (FMQ’23) dengan tema Al-Quran Penggerak Fikrah Jauhari, festival ini akan berlangsung bermula 7 April 2023 hingga 9 April 2023 dengan pelbagai aktiviti yang telah dirangkakan buat peserta.
Menurut Pengerusi Majlis Penggawa USM yang juga merupakan Penggawa Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan, Zulkifli Che Hussin, program ini bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadhan di USM melalui program musabaqah.
“Ini kerana bulan yang mulia ini Al-Quran telah diturunkan kepada Junjungan Besar Rasulullah SAW dan pendekatan pelaksanaan program berskala besar ini dapat memupuk semangat ukhwah dan silaturrahim antara peserta yang datang dari pelbagai latar belakang berbeza,” jelasnya.
Zulkifli juga menyeru seluruh warga USM untuk sama-sama menyokong dan hadir ke program ini dalam semangat kebersamaan serta memperkasakan nilai-nilai APEX yang didokong oleh institusi ini untuk ditonjolkan kepada masyarakat di luar sana.
Antara aktiviti yang akan diadakan sepanjang festival berlangsung ialah tadarus dan hafazan, penulisan khat, syarahan agama, tilawah al-quran, Pemberian Dana Sumbangan Kepada Golongan Asnaf dan Pusat Tahfiz, dan iftar perdana.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dijangka hadir pada hari penutup festival untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Program ini adalah anjuran Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA); Majlis Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa; Majlis Perwakilan Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan; dan Pusat Islam USM.
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto : FMQ’23
- Created on .
- Hits: 969