USM SKKT SAMBUT ULANG TAHUN KE-10, TETAP UTUH KEMBANGKAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN TIONGHUA
USM PULAU PINANG, 24 Mac 2023 – Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjangkau usia sepuluh tahun penubuhannya minggu lepas tetap utuh dalam misinya untuk mengembangkan keunikan kebudayaan dan kesenian Tionghua kepada warga kampus dan luar kampus terutamanya dalam kalangan masyarakat sekitar Pulau Pinang.
Ini dapat dilihat dari pencapaian USM SKKT yang ditonjolkan dalam Majlis Pelancaran dan Jamuan Makan Malam Penghargaan Sambutan Ulang Tahun Kesepuluh USM SKKT yang diadakan pada 21 Mac yang lalu, dengan kehadiran seramai 300 orang yang terdiri daripada para alumni USM SKKT, ahli-ahli USM SKKT, dan pelbagai pihak yang banyak membantu pihak sekretariat dalam menjayakan aktiviti-aktivitinya sepanjang 10 tahun ini.
Bertemakan Transcendence, tema ini bertepatan dengan aspirasi sekretariat iaitu mengenali, memahami dan mewarisi keunikan budaya Tionghua dalam kalangan komuniti setempat dengan berkonsepkan Traces of Time, iaitu dengan mengutamakan elemen peredaran masa, jejakan dan aliran kewujudan bagi mengilustrasikan perubahan serta perkembangan USM SKKT sepanjang 10 tahun.
Berlangsung di Dewan Utama Desasiswa (DUD) di sini, majlis pada malam ini dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah, YB Gooi Hsiao Leung.
Hsiao Leung dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada USM SKKT untuk sambutan ulang tahunnya yang kesepuluh dan menurut beliau, USM SKKT bukan sahaja memberi sumbangan yang amat besar dalam usaha mengembangkan kebudayaan dan kesenian Tionghua malah turut melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang mengutamakan kebajikan masyarakat.
“Dengan berbekalkan pengalaman yang banyak yang mengutamakan kebajikan masyarakat, saya percaya bahawa USM SKKT akan terus berkembang maju dengan memberi impak yang positif kepada universiti dan masyarakat,” kata Hsiao Leung.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Azlinda Azman dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar USM SKKT akan terus memainkan peranan untuk mempromosikan kebudayaan dan keseniaan Tionghua serta menjadikan sekretariat ini sebagai satu platform penyatuan antara pelbagai bangsa dan agama di USM.
Azlinda dalam ucapannya berkata lagi, “Sejak tahun 2015, USM memperkenalkan program pembangunan HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking) untuk menyediakan para pelajar menghadapi masa hadapan, yang mana pihak USM akan terus merangsang mahasiswanya untuk mengambil bahagian aktif seperti mana yang dipamerkan oleh ahli-ahli USM SKKT dalam merealisasikan agenda HEBAT ini termasuk pembangunan bakat.”
Menurut Pengarah Projek Program Sambutan Ulang Tahun Kesepuluh USM SKKT merangkap Yang di-Pertua USM SKKT, Sydney Lim Xin Ni (Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Matematik) pula, pencapaian alumni SKKT telah menjadi pendorong kepada para sekretariat USM SKKT untuk membuat segala penambahbaikan serta membantu untuk membentuk legasi mereka sendiri.
Para hadirin turut disajikan dengan pelbagai persembahan berunsur kebudayaan tradisional dan moden yang cukup menarik dan memukau perhatian para tetamu.
Hadir sama adalah Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai, Ooi Boon Sheng; Timbalan Pengarah Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) USM merangkap Penasihat USM SKKT, Tan Ewe Hoe; pegawai-pegawai utama universiti, alumni USM SKKT dan para penaja.
Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Kesepuluh USM SKKT nanti, pelbagai aktiviti akan dijalankan termasuk ‘pre-event’, bengkel-bengkel kebudayaan, jualan merchandise, dan sebagainya.
Selain itu, penganjur juga akan mengadakan program acara seperti bengkel kebudayaan, permainan dan malam kebudayaan pada 21 Mei 2023 di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM dari jam 12.00 tengah hari hingga 11.00 malam dan masuk adalah percuma.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 550