USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, TERAJU INTAI PASARAN JEPUN POPULARKAN PRODUK SARAWAK, INISIATIF BERI MANFAAT KEPADA 233 USAHAWAN B40 SARAWAK

PULAU PINANG, 29 Mac 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) yang diberi mandat oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melaksanakan program Sustainable Marketing for Community (SMART Community) bagi membawa produk dari Sarawak ke Tokyo dan Nagoya, Jepun.

WhatsApp Image 2023 03 31 at 09.25.28

Program SMART Community ini adalah satu inisiatif untuk membantu dan memperkasa komuniti luar bandar yang mengusahakan pengeluaran produk tempatan melalui pemindahan ilmu, teknologi, penyelidikan dan penambahbaikan secara inklusif.

Menurut Ketua Program SMART Community, Syed Yusof Syed Kechik, Sarawak memiliki pelbagai produk tempatan yang premium dan berpotensi besar untuk diketengahkan kepada dunia.

“Produk makanan dari Sarawak seperti madu kelulut, lada, gula apong dan pes laksa Sarawak mempunyai nilai keaslian dan keunikan tersendiri telah membolehkan ia menembusi serta memenuhi permintaan pasaran global.

WhatsApp Image 2023 03 31 at 09.25.29 1

“Justeru, kita memberi pelbagai galakan dan sokongan kepada pengusaha daripada Sarawak untuk lebih pro-aktif dalam program-program mempromosikan produk tempatan mereka ke pasaran yang lebih luas,” katanya.

Tambahnya, program Smart Community berkenaan juga kini melangkah ke fasa seterusnya apabila USM dan rakan kolaborasinya yang berpangkalan di Jepun, Asia Bridge International (ABI) Co. Ltd. memeterai satu perjanjian persefahaman (MoA) di MATRADE, Tokyo baru-baru ini.

MoA berkenaan turut dimeterai bersama pusat sehenti atau One Stop Centre iaitu SPL Food Industries Sdn. Bhd., Bayu Gagah (M) Marketing Sdn. Bhd. dan Sophia Taha Holdings Sdn. Bhd.

Majlis penandatanganan itu turut disaksikan oleh Pengarah MATRADE selaku Pesuruhjaya Perdagangan, Niqman Rafaee M. Sahar; Pengarah di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Samsulkamar bin Mohamad Ali dan Ketua Program TERAJU Wilayah Sarawak, Zarifhadi bin Bujang.

Kolaborasi strategik yang menggunapakai kaedah quadraple helix ini telah bermula pada tahun 2020 di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak yang bertujuan untuk memperkasakan ekonomi dan sosioekonomi komuniti Bumiputera B40 di Sarawak.

WhatsApp Image 2023 03 31 at 09.25.29

Mengulas lanjut berhubung kerjasama strategik itu, Syed Yusof turut berkata, ABI telah dilantik sebagai rakan kolaboratif di Jepun bagi melancarkan lagi pemasaran produk Sarawak di sana.

“Pemilihan rakan kolaboratif ini dipilih kerana ia dapati bersesuaian dengan konteks dan matlamat yang cuba dicapai dalam program SMART Community, yang mana ABI bukan sahaja mempunyai rangkaian kedai jualan secara fizikal di Nagoya dan Tokyo, malah turut menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui aplikasi pintar iaitu Halal2Go, Ichiba, Yahoo.Japan, Amazon.com, Mercari dan lain-lain,” ujarnya.

Tambah Syed Yusof: “Usaha seumpama ini memberi manfaat kepada lebih daripada 233 orang usahawan bumiputera yang berstatus berpendapatan rendah (B40) di Sarawak.”

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 611

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024