USM PENERAJU STEM, MAIN PERANAN PENTING DALAM ERTI PENDIDIKAN DI NIBONG TEBAL – MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
NIBONG TEBAL, 25 Mac 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan peneraju Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di daerah Nibong Tebal dan contoh terbaik dalam erti kata pendidikan dalam sesebuah parlimen.
Berikut dinyatakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek ketika hadir dan seterusnya merasmikan Majlis Iftar bersama YB Menteri Pendidikan dan Program Kongsi Rezeki di Pusat Islam, Kampus Kejuruteraan di sini, petang tadi.
“Malah, dengan kepakaran yang dimiliki oleh para ilmuan universiti semestinya akan menjadi contoh dalam memupuk minat pelajar-pelajar yang masih bersekolah untuk terus mendalami bidang ini dan seterusnya melanjutkan pelajaran dalam bidang teknologi dan kejuruteraan,” kata Fadhlina.
“Warga USM khususnya para mahasiswa yang turut melaksanakan aktiviti kemasyarakatan seperti program kongsi rezeki ini, mereka bukan sahaja hebat, malah mereka adalah abang serta kakak contoh kepada adik-adik di luar sana,” tambah beliau.
Selain menyokong program-program seperti ini, Fadhlina turut berhasrat agar ianya boleh diteruskan lagi demi memastikan golongan yang memerlukan sentiasa dibantu dan diberdayakan, yang mana kerjasama antara USM dengan Kementerian boleh diwujudkan demi meningkatkan keupayaan penduduk di daerah ini.
Dalam majlis yang sama, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menyatakan bahawa pihak USM akan sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan terutamanya dalam memupuk dan melaksanakan aktiviti berteraskan STEM dan Pendidikan.
“Sebagai sebuah institusi akademik, warga kampus amat berharap dan bersedia untuk membantu meningkatkan keupayaan pelajar serta guru khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
“Malahan kepakaran yang ada boleh dikongsi demi pembangunan anak bangsa kerana kami percaya, para pelajar ini jugalah yang kelak akan mengisi ruang di dalam universiti sebagai mahasiswa,” kata Abdul Rahman.
Dalam majlis yang sama, YB Menteri dan Naib Canselor turut menyampaikan sumbangan kepada para pelajar Asnaf USM yang tinggal di Nibong Tebal, warga staf USM serta sijil kecemerlangan pelajar KAFA Pusat Islam Kampus Kejuruteraan.
Selain itu, majlis tersebut turut menyaksikan sumbangan oleh pihak Masjid Seri Ampangan dan Mydin Mall Parit Buntar dalam bentuk barangan keperluan dapur untuk memenuhi keperluan warga kampus semasa berbuka puasa.
Program Kongsi Rezeki merupakan sebuah inisiatif pihak USM khususnya para mahasiswa yang menunjukkan bahawa USM sentiasa peka dan prihatin terhadap nasib komuniti setempat di samping membantu golongan yang memerlukan terutamanya dari kalangan B40 serta Asnaf.
Turut hadir adalah Ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Latif Ahmad dan Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 523