USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERANGKA MADANI FOKUS MENGINSANKAN PENDIDIKAN DAN KEMBALIKAN ROH APEX – NAIB CANSELOR

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 Mac 2023 – Warga Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) diseru mengembalikan roh ‘Pemacuan untuk Kecemerlangan’ (APEX) dengan memperkenalkan enam (6) kerangka MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan di samping sembilan (9) aspek tumpuan utama memacu kecemerlangan selain meneruskan usaha membantu merealisasikan dasar pembangunan masyarakat dan negara.

IMG 20230328 WA0013

Sembilan (9) aspek tumpuan tersebut adalah Penjenamaan USM sebagai satu jenama hidup dengan memanfaatkan kepakaran USM; Program akademik mampan dan berdaya maju; Melestari libatsama komuniti; Pembangunan kapasiti bakat; Kolaborasi dan sinergi dengan industri melalui pemerkasaan pusat-pusat kecemerlangan; Pemerkasaan mahasiswa; Menaik taraf Pusat Perubatan USM Bertam, Kepala Batas; Kelestarian kewangan; dan Hubungan kerjasama antarabangsa melalui jaringan.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, seluruh warga perlu memainkan peranan dalam memetakan pengembaraan USM seterusnya bagi meletakkan USM pada destinasi yang sepatutnya di masa hadapan.  

“Bagi memastikan USM kekal berada di tahap yang paling baik, kita perlu fokus kepada perjalanan dan proses bukan hanya destinasi semata-mata.  

“Enam (6) kerangka MADANI yang diperkenalkan adalah antara proses menginsankan pendidikan, membentuk serta melahirkan graduan yang mempunyai kemanusiaan yang ‘high touch’ serta pada masa yang sama turut menguasai ‘high technology’,” jelasnya semasa menyampaikan Perutusan Naib Canselor di Dewan Utama, Kampus Kesihatan USM.

Menurut Abdul Rahman, antara usaha yang perlu dilakukan ialah memperhebatkan promosi kepakaran USM iaitu tenaga kepakaran yang ada perlu ditonjolkan dan dibangunkan sebagai satu jenama USM (Made in USM) yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara.  

“Mempelbagaikan kaedah promosi melalui pelbagai program anjuran Pusat Tanggungjawab (PTJ) dan mengambil bahagian dalam pelbagai kumpulan rangkaian kerjasama (networking) dalam bidang profesional dan komuniti untuk lebih dikenali dan didekati. 

“Selain itu, ahli akademik juga perlu memahami komuniti bagi memudahkan kefahaman masyarakat terhadap sumbangan kepakaran mereka,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, warga Kampus Kesihatan juga disaran untuk terus berusaha mengekalkan bakat yang ada dengan sebaik mungkin di samping memanfaatkan kepakaran staf yang telah bersara, Profesor Emeritus dan Emerita, penerima ijazah kehormat, industri dan sebagainya melalui proses pengambilan yang lebih mudah tetapi berakauntabiliti.

IMG 20230328 WA0015

“Mereka boleh berkongsi ilmu dan kepakaran serta membangunkan rangkaian kerjasama terutama untuk dimanfaatkan oleh ahli akademik muda.

“Mereka boleh juga dilantik sebagai penasihat di PTJ dalam bidang kekuatan mereka secara sambilan (part time) atau “pay per visit” kerana saya yakin elemen kepercayaan dan saling menghormati akan memudahkan proses ini,” ujarnya lagi.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 staf pelbagai jawatan dan pelajar itu, Abdul Rahman turut mengajak warga Kampus Kesihatan untuk memahami aspirasi dan merealisasikan inisiatif APEX dalam satu pasukan iaitu ‘Pasukan USM’.

“Agenda utama kita ialah memperkasa Agenda APEX dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas mengkaji Agenda Pelaksanaan APEX. 

“Jawatankuasa ini akan melihat semua aspek berkaitan cabaran sekarang dan masa hadapan termasuk memastikan Dasar Pendigitalan USM untuk menjadi pemangkin kecemerlangan USM sebagai Universiti APEX,” ulasnya. 

Beliau berkata, pelbagai perubahan telah berlaku sejak USM dianugerahkan status APEX pada tahun 2008 dan kanvas APEX perlu dilihat semula untuk memastikan ia terus relevan.

IMG 20230328 WA0017

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin; Pendaftar USM, Dato’ Dr. Musa Ali; Pengarah Pusat Perancangan Institusi dan Strategik (IPSC), Profesor Dr. Asrul Akmal Shafie; Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab. Rahman; Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Abdul Razak Sulaiman; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian, Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail dan ketua-ketua jabatan Kampus Kesihatan.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 566

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024