KELAB SELAM SKUBA USM ANJUR PROGRAM JANGKAUAN PENGHAYATAN LAUT 2015
PULAU PINANG, 29 April 2015 - Menyedari akan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan laut, Kelab Selam Skuba Universiti Sains Malaysia (USM) akan menganjurkan Program Jangkauan Penghayatan Laut 2015 (Ocean Awareness Outreach 2015) dari 8 hingga 10 Mei 2015.
Program seumpama ini merupakan kali ketiga diadakan selepas kejayaan projek Minggu Penghayatan Laut 2014 berikutan mesej cintakan alam sekitar berjaya disampaikan kepada masyarakat dan pelajar USM.
Menurut Pengarah projek, Tan Jun Hao, pelajar Farmasi tahun 2, program selama tiga hari ini akan memfokuskan kepada isu perubahan iklim dan juga pemeliharaan spesies marin yang diancam kepupusannya di Malaysia.
"Kebanyakan rakyat Malaysia sedar akan kepupusan spesies daratan seperti harimau dan tapir, namun mereka kurang mengambil berat tentang ancaman kepupusan spesies laut seperti dugung, ikan lumba-lumba dan kuda laut," katanya.
Menurut Jun Hao lagi, “ramai penduduk Malaysia kurang sedar bahawa semua aktiviti yang dilakukan di daratan mempunyai impak pada lautan, misalnya kebanyakan pantai di Pulau Pinang dicemari oleh sampah-sarap yang berasal dari pembuangan yang tidak bertanggungjawab."
Selama tiga hari penganjuran program ini, pelbagai aktiviti telah dirangka untuk pelajar USM dan masyarakat setempat khususnya para nelayan untuk memahami akan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem kehidupan laut.
Antaranya aktiviti pembersihan kawasan pantai yang akan diadakan di Kampung Nelayan Teluk Kumbar, Pulau Pinang pada 8 Mei 2015. Dalam program ini, peserta akan menyumbang tenaga dalam membersihkan kawasan pantai di sekitar kampung nelayan.
Selain itu, pada sebelah petang 8 Mei pula, dengan kerjasama Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM, para peserta akan melepaskan lebih 40 ekor anak penyu ke laut sebagai simbolik kepada pemeliharaan kepupusan spesies ini.
Turut diadakan larian amal dan pameran daripada pihak NGO yang bertemakan pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem laut bertempat di kawasan letak kereta Kompleks Eureka, USM pada 9 Mei selain ceramah dan bengkel tentang isu pemuliharaan laut kepada peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, orang awam dan pelajar USM.
Sementara itu, penasihat program ini yang juga Penolong Pegawai Belia dan Sukan USM, Mohd Rodzuan Yahya berkata, Pusat Sukan dan Rekreasi USM banyak memberi sokongan dan dorongan kepada persatuan-persatuan yang ingin menjalankan aktiviti yang mampu memberi impak positif kepada pelajar USM dan masyarakat melalui sokongan moral dan kewangan.
“Kami di Pusat Sukan sentiasa memberi peluang kepada para pelajar untuk menjalankan aktiviti luar kampus selaras dengan misi USM sendiri untuk menjadikan pelajarnya seimbang dalam akademik dan ko-kurikulum," katanya dalam sidang media yang diadakan bersempena promosi program ini.
Kelab Selam Skuba USM mempunyai lebih 100 orang ahli yang terdiri daripada pelajar dan staf USM amat aktif dalam aktiviti-aktiviti berkaitan menyelam skuba di samping giat mempromosi kesedaran dan pendidikan tentang pemeliharaan persekitaran pantai dan laut dalam kalangan warga kampus dan luar kampus. - Teks: Syuhada Abd Aziz/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1631