USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR AJAK SELURUH WARGA USM BERSAMA MEREALISASIKAN USAHA MEMACU KECEMERLANGAN

USM PULAU PINANG, 22 Mac 2023 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed mengajak seluruh warga universiti bekerja sebagai satu pasukan untuk menunaikan amanah memacu kecemerlangan.

WhatsApp Image 2023 03 27 at 16.09.09

"Saya mengingatkan diri saya sendiri sebagai Naib Canselor, saya secara individu tidak mampu melaksanakan apa yang telah diucapkan pada hari ini justeru secara jujur dan penuh takzim saya perlukan segala bentuk kerjasama, buah fikiran dan kekuatan daripada semua warga universiti," kata Abdul Rahman ketika menyampaikan Perutusan Naib Canselor 2023 yang dihadiri kira-kira 1,000 orang warga kampus di Dewan Tuanku Syed Putra USM.

Tegasnya, kita perlu teruskan kejayaan, kegemilangan dan kepimpinan kita; mengepalai seluruh sistem universiti di negara ini selain menjadi relevan di peringkat setempat, nasional dan global.

"Sebagai peringatan, janji kita kepada warga universiti, masyarakat dan negara, kita perlu ‘Mentransformasikan Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok’, dan juga selaras dengan moto USM iaitu ‘Kami Memimpin’," tambah beliau.

Menurut Naib Canselor, universiti memerlukan ‘Kecemerlangan Inklusif’ yang bergantung kepada sejauh mana setiap warga menghargai, melibatkan diri dan merangkumi kepelbagaian melalui kekayaan pelajar, kakitangan, fakulti, pentadbir, pemegang amanah, alumni dan rakan kongsi institusi.

Jelas beliau, hal ini akan memastikan semua prasarana infrastruktur dan infostruktur tersedia dan ditadbir urus dengan baik.

Kerana itu usaha perlu dibuat untuk semua prasarana infrastruktur dan infostruktur tersedia dan ditadbir urus dengan efisien, mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada dan ditanamkan budaya hormat dan saling menghargai.

WhatsApp Image 2023 03 27 at 16.09.09 1

Usaha juga perlu ditekankan kepada berkomunikasi dengan berkesan, iltizam untuk kecemerlangan dalam proses kerja, meletakkan integriti, kejujuran, beramanah dan keikhlasan sebagai asas terpenting dalam menunaikan tanggungjawab yang dipegang merentasi kumpulan warga dan pemerkasaan berdasarkan kepercayaan terhadap potensi.

Tambahnya lagi, warga universiti juga perlu bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan dan inklusif dengan melibatkan seluruh warga iktibar daripada moto ‘Saya Sayang USM’, ‘Kami Sayang USM’.

Untuk memastikan kejayaan semua penekanan diberi, prestasi pencapaian akan dipantau secara berkala oleh universiti melalui KPI PTJ Scorecard, dengan sasaran yang dipersetujui secara bersama.

"Marilah kita memacu kecemerlangan dengan komitmen semua pihak bekerja secara kolektif dengan memastikan universiti dan pendidikan tinggi menjadi pemangkin komuniti yang sejahtera, bakat masa hadapan yang dapat berfikir dan berdikari," kata Naib Canselor.

Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohamad Zaidi Jaini

  • Created on .
  • Hits: 417

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024