USM TETAPKAN 9 FOKUS UTAMA TERMASUK PEMERKASAAN MAHASISWA
USM PULAU PINANG, 22 Mac 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) menetapkan 9 fokus utama pencapaiannya iaitu memanfaatkan kepakaran USM, program akademik mampan dan berdaya maju, melestari libatsama komuniti, pembangunan kapasiti bakat, kolaborasi dan sinergi dengan industri, pemerkasaan mahasiswa, menaik taraf Pusat Perubatan USM Bertam, Kepala Batas, kelestarian kewangan dan hab kerjasama antarabangsa melalui jaringan.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, pemerkasaan mahasiswa akan terus menjadi agenda penting universiti.
Berucap dalam Perutusan Naib Canselor 2023, beliau berkata USM akan terus memperkasakan pelajar untuk menjiwai kelestarian dan membangunkan sahsiah diri serta menjadikan pengalaman belajar di kampus kekal dalam ingatan.
"Universiti perlu menjadi medan kepada mahasiswa untuk mengkayakan diri dengan ilmu dan pengalaman, pergaulan dan interaksi sosial, menajamkan kemahiran diri dan bersedia dengan cabaran-cabaran masa hadapan.
Universiti turut berbangga dengan kebolehpasaran graduan yang tinggi dan bersyukur berada di tangga teratas negara untuk Global Employability University Ranking and Survey (GEURS) 2022 yang mencapai hampir 93% yang jelas menunjukkan graduan USM diterima oleh majikan dalam pelbagai pekerjaan di dalam dan di luar negara," kata Abdul Rahman.
Tegasnya, USM akan terus mengupayakan mahasiswa di universiti dengan lebih berfokus dan khusus kepada pembangunan bakat yang berterusan dan mensasarkan kebolehpasaran 100% dalam masa terdekat melalui beberapa tumpuan usaha.
Yang pertama penyediaan siswazah yang dapat memasuki dunia global dengan kompetensi baharu terutamanya kompetensi digital;
Kedua, mewujudkan USM - Kampus Global sebagai medan interaksi dan bertukar pendapat dari segi akademik dan kebudayaan dunia;
Ketiga, memperkasa Dewan Perundingan Pelajar sebagai medan pelajar mempraktikkan amalan berbincang secara bebas ala parlimen;
Keempat, mengukuhkan kerjasama dengan industri dan jayakan agenda HEBAT serta meningkatkan kebolehpasaran graduan;
Kelima melaksanakan Program 2u2i dan internship kepada semua pelajar;
Keenam meningkatkan kemahiran komunikasi mahasiswa terutama golongan B40 melalui program internship dengan industri;
Ketujuh, pendedahan kepada budaya global melalui Program Seorang Pelajar, Satu Pasport, dan menggalakkan pelajar menyertai program di peringkat antarabangsa;
Kelapan, manfaatkan Jaringan (Networking) yang ada seperti Asian Entrepreneurship Networking (AsENet), University South East Asia Sustainability Network (SEASN), dan Asia-Pacific University-Community Engagement Network (APUCEN);
Kesembilan, menghakupayakan persatuan dan pertubuhan pelajar untuk pengurusan aktiviti mandiri;
Kesepuluh, pembangunan bakat dan kesukarelawanan mahasiswa;
Kesebelas, menggalakkan mahasiswa memberi idea-idea baharu terutamanya Program Pitch@USM;
Kedua belas, pembangunan prasarana dan fasiliti pelajar;
Ketiga belas, meningkatkan promosi, pemasaran dan pengkomersilan produk kreatif dan hasil inovasi pelajar seluas mungkin termasuk Seni dan Budaya dengan manfaatkan negeri Pulau Pinang sebagai tumpuan pelancong;
Keempat belas, meningkatkan libatsama Alumni untuk membantu budaya keusahawanan, penajaan fasiliti, sumbang kepakaran seperti untuk tangani kesihatan mental;
Kelima belas, menggalakkan pelajar USM terlibat dengan kerja sukarela melalui projek BJIM yang dilaksanakan untuk masyarakat dan pelajar sekolah;
Keenam belas, mewujudkan program Intern@USM yang memberi peluang kepada pelajar menjalani dengan sendiri tentang pengurusan dan pentadbiran universiti.
Ketujuh belas, mengadakan Program Hibrid Finishing School Pembangunan Talent Eksklusif dalam Kalangan Pelajar B40 Tahun Akhir untuk meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran serta martabat graduan melalui sistem sokongan komprehensif;
Kelapan belas, menjaga kebajikan mahasiswa dengan pengumpulan data tentang penglibatan pelajar dalam kerja sambilan untuk memantau keselamatan dan kebajikan mereka; dan
Kesembilan belas, memberikan perhatian khas terhadap cadangan MPP pada awal tahun 2023 berkaitan hal Akademik, Kesihatan Mental, Keselesaan dan Keselamatan Pergerakan dalam Kampus, Perkhidmatan Bas, Menu Prihatin Pelajar, Jaringan Wi-Fi dan Kemudahan Sukan.
Kira-kira 1,000 orang warga USM termasuk pelajar hadir mengikuti majlis Perutusan Naib Canselor 2023 yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra.
Turut diadakan ialah penyerahan Anjung Budi kepada Persatuan Alumni USM (PAUSM).
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohamad Zaidi Jaini
- Created on .
- Hits: 680