USM TERUS FOKUS JAYAKAN APEX
USM PULAU PINANG, 22 Mac 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) akan terus berfokus kepada usaha menjayakan Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX) yang diterimanya pada tahun 2008.
Berucap dalam Perutusan Naib Canselor 2023, Naib Canselor Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, agenda utama USM ialah memperkasakan Agenda APEX dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas mengkaji Agenda Pelaksanaan APEX.
"Jawatankuasa ini akan melihat semua aspek termasuk cabaran sekarang dan masa hadapan.
"Hal ini termasuklah memastikan Dasar Pendigitalan USM sebagai pemangkin kecemerlangan USM sebagai Universiti APEX," kata Abdul Rahman.
Tambahnya lagi, banyak perubahan telah berlaku sejak menerima amanah tersebut, oleh itu kanvas APEX perlu dilihat semula untuk memastikan ia terus relevan.
"Cadangan baharu perlu dibuat bagi memperkasakan agenda APEX USM. Pada masa yang sama kita teruskan segala inisiatif yang ada," tegas beliau.
Jelas Naib Canselor, USM perlu terus gigih berusaha menjadi pemimpin ilmu dan menerajui Sustainability-Led University yang melihat peranan pendidikan tinggi dalam melahirkan bakat intelektual yang berakal budi tinggi, bijaksana (wisdom), sentiasa peka dan prihatin kepada persekitaran, perubahan dan cabaran semasa dan masa hadapan serta menjaga hubungan dengan Tuhan, hubungan sesama insan dan hubungan dengan alam.
Pendokumentasian usaha kelestarian perlu diteruskan untuk melihat pencapaian dari semasa ke semasa.
"Pencapaian USM dalam Indeks Kelestarian Global 2022 berdasarkan 17 Sustainable Development Goals (SDG) amat membanggakan, namun usaha untuk diterjemahkan dalam tindakan dan pemantauan berterusan adalah lebih penting
"Oleh itu, USM juga perlu mengambil langkah menjalankan proses advokasi untuk mengembalikan roh APEX untuk dihayati dan dilaksanakan sebagai satu budaya kampus terutamanya dalam merealisasikan Negara MADANI," kata Abdul Rahman.
Menurut beliau, usaha mendidik komuniti kampus perlu dilakukan secara berterusan untuk mereka lebih memahami konsep kelestarian dan peranan yang dapat dimainkan untuk menjaga kelestarian alam dan persekitaran, kesihatan dan kesejahteraan kehidupan dalam semua aspek.
Tegas beliau lagi, USM akan terus memimpin dalam kelestarian menerajui nyahpolistirena, mengawal penggunaan plastik, pengurusan buangan peralatan elektronik dan penjimatan elektrik serta mengupayakan masyarakat B40 dalam keusahawanan dan pendidikan.
Menurut Naib Canselor, USM akan menerapkan idea kelestarian melalui program latihan dalam kalangan ahli akademik, staf dan warga baharu USM serta pelajar supaya mereka memahami dan dapat bersama-sama memainkan peranan dalam komuniti kampus dan komuniti luar untuk memperjuangkan isu kelestarian.
Beliau turut mengumumkan untuk kembali menghidupkan Program Kampus Sejahtera dengan memberi pengupayaan untuk memainkan peranan mendidik mahasiswa dan komuniti kampus terhadap aktiviti kelestarian. Lebih banyak aktiviti perlu dibuat untuk membolehkan warga universiti merasai kembali roh kelestarian termasuk mempromosikan kampus sejahtera.
Di samping itu, usaha juga akan dibuat untuk memanfaatkan tenaga pakar dalam bidang kelestarian yang ada di pelbagai Pusat Kecemerlangan dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) untuk memastikan Dasar Kelestarian Universiti berjalan lancar.
"Usaha ini juga perlu digemblengkan dengan polisi kerajaan terutama dalam pendekatan Malaysia MADANI yang selaras dengan agenda APEX USM," kata Abdul Rahman.
Perutusan Naib Canselor 2023 adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Naib Canselor pada Januari lalu dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang warga USM termasuk pengurusan tertinggi universiti dan para pemimpin pelajar.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Mohammad Nazer Abdul Hadi
- Created on .
- Hits: 743