PASUKAN DEBAT TIONGHUA USM JUARA PIALA DUNIA MALAYSIA, MEWAKILI ASIA TENGGARA DI CHINA
USM PULAU PINANG, 26 Mac 2023 – Pasukan Debat Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah muncul sebagai Johan Keseluruhan dalam Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2023 yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS1), Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM.
Pertandingan yang berlangsung dari 25 Mac hingga 26 Mac 2023 itu telah menyaksikan 5 pasukan terbaik berentap daripada 15 penyertaan universiti-universiti dari Malaysia dan Singapura.
Bagi pasukan USM yang memenangi pertandingan itu, melayakkan mereka mewakili Asia Tenggara ke peringkat akhir di Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia di Negara China yang akan diadakan pada bulan Ogos tahun ini.
Pasukan USM terdiri daripada pelajar dari pelbagai jurusan sains dan sastera, dan mereka adalah:
- Teo Zhi Zhen (Pusat Pengajian Pengurusan)
- Shiji Yin (Pusat Pengajian Teknologi Industri)
- Cheah Mee Yee (Pusat Pengajian Sains Komputer)
- Yan Han (Pusat Pengajian Bahasa, Literasi Dan Terjemahan)
- Chew Li Liang (Pusat Pengajian Sains Kajihayat)
- Loh Qian Qian (Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan)
Dalam pusingan akhir, USM menewaskan pasukan Universiti Malaya (UM) yang dinobatkan sebagai Naib Johan keseluruhan pertandingan dengan usul ‘Sekiranya AI Dapat Memenangi Manusia Dalam Dunia Perdebatan, Adakah Ia Perkara Yang Menggembirakan Atau Menyedihkan?’.
Hadir bagi menyempurnakan majlis perasmian penutupan pertandingan ialah Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Lim Hui Ying.
Hui Ying dalam ucapannya berkata, beliau amat berbesar hati dijemput ke majlis penutupan tersebut dan tambahnya, beliau percaya penonton telah menyaksikan sesi debat yang cemerlang dengan kemahiran berdebat yang tinggi ditunjukkan oleh pendebat-pendebat pertandingan.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Jelfariny Jelahni mewakili Timbalan Naib Canselor HEPA, berkata aktiviti perdebatan ini dapat membantu para pelajar untuk meningkatkan kemahiran berfikir, berkomunikasi dan keyakinan diri, yang mana objektif yang mulia ini selari dengan agenda APEX USM yang mengutamakan kecemerlangan pelajar dalam mewujudkan institut pengajian tinggi yang setanding dengan universiti terbaik di dunia.
“Suka saya ingatkan kepada semua pelajar supaya terus aktif dalam pelbagai aktiviti yang bermanfaat seumpama ini dan terus harumkan nama universiti masing-masing di mana sahaja anda berada,” tambah Jelfariny.
Pengerusi PBT USM, Choo Xuan Ping mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang dalam meneruskan legasi persatuan selama 53 tahun yang mana sekaligus telah melonjakkan PBT sebagai persatuan universiti berunsurkan bahasa dan kebudayaan Tionghua yang tertua di Malaysia.
“Pertandingan yang dianjurkan oleh ahli jawatankuasa Unit Debat ini telah membuktikan bahawa mahasiswa dan mahasiswi USM mampu menganjurkan sesebuah program yang berperingkat serantau Asia Tenggara,” kata Xuan Ping.
Selain menjadi Juara Keseluruhan Pertandingan, pendebat terbaik dianugerahkan kepada pelajar tahun 4, Teo Zhi Zhen yang juga merupakan ketua kumpulan pasukan USM.
Menurut Zhi Zhen, harapannya bersama ahli pasukannya adalah untuk memenangi Piala Dunia pertandingan itu yang mana seluruh ahli pasukan akan terus berusaha keras untuk mencapai ‘target’ yang telah mereka letakkan untuk menjadi juara di peringkat antarabangsa.
Pengurusan tinggi Universiti menyertai seluruh warga USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Debat Persatuan Bahasa Tionghua USM di atas kejayaan yang amat membanggakan ini.
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 805