USM TUAN RUMAH PERTANDINGAN PERDEBATAN CINA PIALA DUNIA PERINGKAT ASIA TENGGARA 2023
USM PULAU PINANG, 25 Mac 2023 – Unit Debat Persatuan Bahasa Tionghua, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini diberi penghormatan menjadi tuan rumah Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2023 di Dewan Pembangunan Siswa 1 (DPS1), Kompleks Cahaya Siswa (KOMCA), USM.
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari pada 25 Mac hingga 26 Mac 2023 telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, YB Chong Eng mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang.
Chong Eng dalam ucapan perasmiaannya berkata, pertandingan seumpama ini adalah penting dalam menggalakkan anak-anak muda beratikulasi dengan mengembangkan idea serta membahaskan isu-isu utama yang penting dalam pembangunan masyarakat.
“Perdebatan ini menggalakkan para pelajar mengambil bahagian dan melihat isu-isu masyarakat dari pelbagai perspektif dan hal ini secara langsung memberikan peluang kepada pelajar-pelajar melihat sesuatu isu dengan pemikiran yang kritis dan terbuka,” kata Chong Eng.
Sementara itu, Pengarah Projek Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2023, merangkap Ketua Unit Debat Persatuan Bahasa Tionghua USM, Lam Joo Yee dalam ucapannya berkata, dia amat berbesar hati di atas sumbangan dan kerjasama daripada pelbagai pihak yang membantu untuk menjayakan program itu.
“Pertandingan ini telah memberikan kesempatan kepada saya untuk berinteraksi dengan semua ahli jawatankuasa untuk merancang dan menjayakan pertandingan debat ini,” kata Joo Yee.
Hadir sama pada majlis adalah Guru Bahasa Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan USM, Lee Pin Ling; Pengerusi Persatuan Bahasa Tionghua USM, Choo Xuan Ping dan pegawai-pegawai utama USM.
Sebanyak 15 buah universiti dari Malaysia dan Singapura telah menyertai pertandingan tersebut dan 5 pasukan terbaik telah berjaya ke peringkat separuh akhir iaitu USM, Taylor’s University, Universiti Malaya (UM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR) Kampar, dan Multimedia University (MMU).
Dua pasukan akan mara ke pertandingan akhir yang akan berlangsung esok (Ahad), dan kedua-duanya akan mewakili Malaysia untuk bertanding di Negara China bersama pasukan-pasukan lain yang terpilih dari seluruh dunia.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah pada 26 Mac (Ahad) dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Lim Hui Ying di DPS1, KOMCA, USM.
Sebagai galakan terhadap aktiviti perdebatan, kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyumbang sebanyak RM15 ribu kepada Unit Debat Persatuan Bahasa Tionghua USM untuk melancarkan pertandingan tersebut.
Semoga berjaya buat semua pasukan pendebat yang masih bertanding, dan diharap pasukan USM akan mara ke peringkat akhir!
Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 574