PROGRAM KONGSI REZEKI: PELAJAR SANTUNI 40 KELUARGA KURANG BERKEMAMPUAN SEKITAR KAMPUS KEJURUTERAAN USM
NIBONG TEBAL, 25 Mac 2023 – Pelajar Tahun 1 Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) bersama dengan Pembimbing Pelajar Siswa Lestari dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan telah mengadakan Program Kongsi Rezeki yang memberi peluang kepada para pelajar untuk menyampaikan sumbangan kepada penduduk sekitar kampus.
Seramai 40 orang pelajar terlibat dalam program ini, yang mana mereka telah dibahagikan kepada 4 kumpulan dan bergerak ke 4 buah kampung iaitu Kampung Tg. Berembang, Kampung Tasek, Kampung Sungai Buaya dan Kampung Changkat di daerah Seberang Perai Selatan.
Sebanyak 40 buah keluarga telah disantuni di keempat-empat kampung tersebut.
Sumbangan adalah dalam bentuk barangan dapur yang disumbang ikhlas oleh para pelajar dan staf warga Kampus Kejuruteraan serta tajaan daripada Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, YB Puan Fadhlina Sidek; Mydin Mall Parit Buntar dan Masjid Seri Ampangan.
Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dato' Dr. Nor Azazi Zakaria meluangkan masa bersama pelajar dan staf yang terlibat, dan membuat pelepasan kepada konvoi pelajar tersebut.
Semoga dengan inisiatif ini akan dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan terutamanya di bulan Ramadhan ini.
Teks: Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 490