TNC BJIM&KI PANTAU INFRA DEWAN KULIAH UTAMA USM
USM PULAU PINANG, 25 Mac 2023 - Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Kelestarian Institusi (BJIM&KI) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Azlan Amran hari ini bersama Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA), Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), Unit Kemudahan Pusat Jabatan Pendaftar, Jabatan Keselamatan, Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa dan Pejabat Timbalan Naib Canselor BJIM&KI telah mengadakan sesi Tinjauan Ke Dewan Kuliah dan Bilik Tutorial di Kampus Induk USM.
Sesi tinjauan ini melibatkan 28 Dewan Kuliah utama di Kampus Induk dan juga Dewan Kuliah dan Bilik Tutorial.
Urusan bermula di Sektor Dewan Kuliah A, B dan C dan disusuli dengan sektor Dewan Kuliah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (SK 3 dan SK 4) dan seterusnya ke Sektor Dewan Kuliah G hingga W serta bilik-bilik tutorial berdekatan di sekitar laluan perpustakaan Hamzah Sendut dan Pusat Pengajian Teknologi Industri.
Sesi turut meliputi Dewan Kuliah di sektor D, E dan F berdekatan dengan Pusat Penerbit USM serta yang terakhir di Dewan Kuliah Z dan bilik tutorial sekitar Pusat Pengajian Pengurusan dan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan.
Menurut Azlan, inisiatif ini adalah merupakan langkah USM untuk memastikan urusan Infra dan fasiliti USM sentiasa dalam keadaan bersedia dan dapat memberikan kualiti terbaik dalam aspek pengajaran dan pembelajaran kepada mahasiswa USM.
“Inisiatif baharu ini akan dilaksanakan secara rasmi di seluruh Kampus USM bagi memastikan jaminan kualiti sentiasa menjadi teras penyampaian perkhidmatan di USM,” jelasnya.
Tambahnya, ia juga adalah sebagai persediaan sebelum sesi pengajaran dan pembelajaran bermula bagi semester yang akan datang.
Teks Asal dan Foto: Mohd Faizal Md Osman
Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 700