USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CIC TURUN PADANG FOKUS PROGRAM PERKASA PENCAPAIAN KPI INOVASI

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 19 Mac 2023 – Bagi membantu pusat pengajian dan pusat tanggungjawab (PTJ) di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) merangka strategi dalam meningkatkan pencapaian 'Key Performance Indicator' (KPI), Pusat Inovasi dan Perundingan (CIC) USM hari ini menganjurkan program 'Gear Up Your Innovation KPI’ di Dewan Peperiksaan, Kampus Kesihatan USM.

IMG 20230319 WA0018

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsudin ketika menyampaikan ucapan perasmian program ini menyambut baik penganjurannya kerana staf dan penyelidik diberi penerangan berkaitan pemfailan harta intelek, kefahaman mengenai perjalanan pengkomersilan produk penyelidikan, proses pembentukan syarikat terbitan (spin off company) dan penerangan berkaitan insentif potongan cukai selain membantu para penyelidik menfailkan paten-paten produk.

“Untuk menjadi sebuah universiti penyelidikan yang unggul dengan moto “Kami Memimpin”, kita seharusnya bersama-sama dalam menghasilkan impak yang positif terhadap pengurusan ilmu, pengetahuan dan juga inovasi.

IMG 20230319 WA0017

“Salah satu aspek penting adalah kapasiti untuk menggerakkan hasil penyelidikan daripada persekitaran makmal kepada klinik atau produk-produk penemuan baharu supaya dapat dipertingkatkan ke dalam perkhidmatan dan digunakan oleh masyarakat,” katanya.

Tambah Shaharum, kejayaan USM dalam menterjemah hasil penyelidikan kepada penyelesaian di dalam industri atau masyarakat, bukan sahaja mampu memacu aspek kemampanan penyelidikan, tetapi juga memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Ini merupakan antara peranan penting yang dimainkan oleh universiti dalam mengharungi ekonomi yang dipacu oleh pengetahuan berkaitan dengan penyelidikan untuk diterjemahkan pengetahuan bagi kegunaan industri, komuniti, kerajaan serta sesama Institusi Pendidikan Tinggi.

IMG 20230319 WA0019

“Antara metrik pengukuran bagi pencapaian KPI Penyelidikan adalah menerusi ‘Malaysia Research Assessment’ (MyRA). Pencapaian USM di dalam MyRA terutama dalam Seksyen Inovasi telah menunjukkan peningkatan ketara dan pencapaian ini disumbang menerusi usaha penyelidik untuk kesemua kampus USM yang telah memfailkan paten dan lain-lain harta intelek dalam penghasilan penyelidikan mereka dan juga merupakan inisiatif penubuhan syarikat terbitan.

“Usaha sama dan kolaborasi di antara penyelidik dan rakan industri turut membantu meningkatkan KPI Pelesenan Teknologi dengan jumlah pencapaian keseluruhan KPI inovasi,” ujarnya lagi.

IMG 20230319 WA0017

Shaharum berkata, usaha yang telah dilakukan oleh pihak CIC dalam mengadakan program sebegini mampu memupuk budaya inovasi dalam kalangan penyelidik dan warga universiti, sama ada kesedaran dalam perlindungan harta intelek, kaedah pengkomersilan, atau membudayakan keusahawanan penyelidikan dengan pembentukan syarikat terbitan.

IMG 20230319 WA0013

“Pembudayaan ini diharap boleh memacu penterjemahan hasil penyelidikan menjadi penyelesai masalah dalam industri dan masyarakat serta dapat meningkatkan ekonomi negara,” jelasnya.

IMG 20230319 WA0014

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Hospital USM, Dato’ Profesor Dr. Nik Hisamuddin Nik Ab Rahman; Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM), Profesor Madya Dr. Aziah Ismail; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri – Komuniti), Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim dan Pengarah CIC, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan.

Teks: Wan Salizawati Wan Ismail/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 322

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024